Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, April 26, 2012

Polis tumpas kegiatan bomoh tipu orang di Lingga



Caption: TUMPAS...Jusoh sedang menunjukkan barang kemas dan peralatan bomoh kepada pihak media setelah berjaya menumpaskan kes jenayah tipu di Sri Aman hari ini.

VALENTINE NGUMBANG

SRI AMAN, Khamis (19 April) – Pihak polis berjaya menumpaskan sekumpulan penjenayah yang dipercayai telah menyamar diri sebagai bomoh untuk menipu sebuah keluarga di kawasan Lingga malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad berkata sebelum kumpulan yang terdiri daripada tiga orang lelaki dan dua orang perempuan itu telah ditahan oleh pihak polis di Kilometer 9, Jalan Sri Aman – Serian pada lewat malam tadi.

“Sekitar jam 6 petang, tiga daripada lima orang saspek terbabit telah menemui sebuah keluarga di Lingga dan mendakwa diri sebagai bomoh yang mampu mengubat penyakit mereka.

“Saspek mengarahkan barangan kemas milik mangsa disimpan dalam kain hitam sebagai syarat perubatan dan kemudiannya direndam dalam air. Mangsa dimaklumkan bahawa penyakit mereka akan sembuh jika mandi menggunakan air berkenaan,” kata Jusoh.

Ketiga-tiga saspek tersebut kata beliau dipercayai telah menukar kain yang mengandungi barangan kemas berkenaan dengan kain hitam yang lain ketika kesemua mangsa sedang berkemas setelah mandi.

Mangsa iaitu ibu mertua dan anaknya yang masih belum menyedari perkara tersebut dipercayai telah diarahkan oleh saspek agar tidak membuka kain hitam berkenaan sebelum mereka beredar dari kediaman mangsa.

“Mangsa kemudiannya terkejut apabila kain hitam berkenaan mengandungi tudung botol ubat batuk dan syiling. Ia menyebabkan mangsa melaporkan kejadian tersebut kepada Balai Polis Lingga pada jam 7 petang,” katanya.

Laporan tersebut kata Jusoh telah disalurkan segera kepada pusat kawalan Ibupejabat Polis Daerah Sri Aman yang seterusnya berjaya mengesan kenderaan saspek di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Simanggang pada jam 11.50 malam.

Para saspek katanya kemudiannya bertindak memecut kenderaan yang digunakan oleh mereka iaitu Proton Aerobik berwarna putih dari kawasan sekolah terbabit apabila menyedari pihak polis telah datang dan mahu menahan mereka.

“Pihak kita terus mengejar kenderaan yang digunakan oleh saspek sebelum mereka dipintas dan seterusnya ditahan di kawasan persimpangan jalan Temudok selepas itu,” katanya.

Hasil tangkapan oleh pihak polis kata Jusoh telah berjaya menemui seulas rantai emas, tiga gelang emas, satu pasang anting, satu kerongsong emas dan tiga bentuk cincin yang dipercayai milik mangsa dengan anggaran keseluruhannya berjumlah RM40,000.

Turut ditemui oleh pihak polis menerusi tangkapan tersebut tambah beliau ialah beberapa alatan bomoh yang digunakan oleh saspek untuk memperdayakan para mangsa kes tipu berkenaan.

“Kesemua saspek berusia antara 25 hingga 70 tahun itu telah pun direman dengan pihak polis akan menyiasat perkara tersebut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” menurut beliau sambil menambah bahawa kesemua saspek bukan berasal dari kawasan Sri Aman ini.

IPD Sri Aman kata Jusoh juga akan menyalurkan maklumat mengenai kes berkenaan ke seluruh cawangan polis di negeri ini bagi mengesan kemungkinan pembabitan kumpulan saspek tersebut dalam kes tipu yang lain.

“Justeru saya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya terhadap kehadiran individu tidak dikenali yang mendakwa diri mereka sebagai pegawai kerajaan atau bomoh selepas ini,” katanya.

Tamat.













No comments:

Post a Comment