Caption: BAKAL JADI TUMPUAN...Pekan Pantu akan menjadi tumpuan ribuan orang
pengunjung yang mahu menyaksikan Pesta Ikan Tapah di situ bermula 28 hingga 29
April ini nanti.
SRI AMAN, Jumaat (13 April) – Pekan Pantu bakal menjadi tumpuan ribuan orang
pengunjung apabila Pesta Ikan Tapah Pantu edisi ketiga kembali menemui
peminatnya di situ bermula dari 28 hingga 29 April kelak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan ketika
dihubungi berkata pelbagai acara menarik
telah disediakan bagi tatapan pengunjung di situ ketika berlangsungnya sambutan
pesta tersebut.
Antara acara yang bakal diadakan menerusi Pesta Ikan Tapah Pantu 2012 ini
nanti kata beliau adalah pertandingan karaoke, gerai jualan beraneka, konsert, Ratu
Ikan Tapah, persembahan kebudayaan dan banyak lagi.
“Pesta Ikan Tapah Pantu adalah merupakan nama asal temasya ini ketika ia
pertama kali dianjurkan di Pekan Pantu pada tahun 2009 sebelum namanya diubah
kepada Pesta Pantu pada tahun 2010.
“Bagaimanapun atas nasihat Menteri Kemajuan Tanah iaitu Tan Sri Dr James
Jemut Masing, nama Pesta Pantu terbabit telah diubah semula kepada Pesta Ikan
Tapah Pantu bagi edisi kali ini,” jelas beliau.
Selain itu pemilihan semula nama pesta tersebut kata Snowdan dilihat amat
bersesuaian dengan logo Ikan Tapah yang terdapat di simpang jalan menuju ke
Pekan Pantu dan juga bersempena dengan populasi ikan terbabit di Sungai Batang
Strap, Pantu.
Malahan beliau juga turut menolak cadangan penganjuran Pesta Ikan Tapah
Pantu bagi tahun ini di Pekan Lachau atau Keranggas Gayau seperti yang
diusulkan oleh beberapa pihak sebelum ini.
Katanya Pesta Ikan Tapah merupakan produk bagi membangunkan Pekan Pantu dalam
DUN Balai Ringin dan tidak boleh dibawa berpindah ke mana-mana lokasi melainkan
di pekan itu sendiri dari masa ke semasa.
“Lagipun Pesta Ikan Tapah Pantu sudah pun mempunyai pengikutnya yang
tersendiri. Justeru saya berharap agar pengunjung dari seluruh negeri hadir ke
Pekan Pantu untuk memeriahkan sambutan pesta tersebut dari 28 hingga 29 April
kelak,” katanya.
Snowdan turut menambah bahawa mesyuarat terakhir bagi tujuan penganjuran
Pesta Ikan Tapah Pantu 2012 terbabit akan diadakan di Pejabat Daerah Kecil
Pantu pada 17 April ini.
Terdahulu Pekan Pantu terletak kira-kira 62 kilometer dari pusat Bandar Sri
Aman dan boleh dihubungi oleh semua pengunjung menerusi laluan jalan darat
menurut ke pekan tersebut dari Jalan Sri Aman – Serian.
Tamat.
No comments:
Post a Comment