Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, April 3, 2012

Jabatan Hal Ehwal Veteran adakan Program Speed reading untuk kebajikan anak tentera


Mugshot: LEFTENAN KOLONEL MONDAY JUHID

SRI AMAN, Selasa (27 Mac) – Ke arah memantapkan lagi penguasaan ilmu dikalangan anak bekas tentera, Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak akan menganjurkan Program Motivasi Dan Speed Reading 2012 bermula dari 30 Mac hingga 1 April ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak, Leftenan Kolonel Monday Juhid berkata Program Motivasi Dan Speed Reading 2012 ini akan diadakan di Pusat Pertanian Layar, Betong.

“Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk membolehkan anak-anak veteran tentera berkongsi kaedah mengenai pembelajaran yang berkesan menerusi teknik Speed Reading berkenaan.

“Menerusi program ini pihak Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak secara tidak langsung telah menjayakan program Transformasi Pendidikan dengan memperkenalkan teknik pembelajaran strategik kepada anak-anak veteran tentera selepas ini,” katanya.

Untuk itu beberapa orang penceramah berkelayakan dari Jabatan Pendidikan kata Monday akan dilantik untuk mengendalikan program ini demi membolehkan para peserta memahami apa yang mereka baca menerusi proses Speed Reading tersebut.

“Pihak kita telah pun mensasarkan penglibatan sejumlah 100 orang anak-anak veteran tentera yang menuntut di tingkatan satu serta dua dari kawasan Sri Aman, Lubok Antu (termasuk Engkilili), Betong, Spaoh dan Saratok bagi program berkenaan,” katanya.

Justeru beliau berharap agar keluarga veteran tentera memberi sokongan terhadap anak-anak masing-masing untuk menghadiri Program Motivasi Dan Speed Reading 2012 bermula dari 30 Mac hingga 1 April ini.

“Kaunter Jabatan Hal Ehwal Veteran juga akan dibuka di situ bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang pada 31 Mac ini untuk membolehkan golongan veteran tentera datang melakukan pelbagai urusan yang berkaitan dengan pihak jabatan,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment