Caption:
1. MASIH HILANG...Embang anak Bunyam
2. BERISIKO...Gambar menunjukkan perahu kecil milik mangsa yang berjaya
ditemui oleh anggota penyelamat sebaik sahaja karam kelmarin.
3. JAUH...Mangsa bersama anaknya dipercayai cuba menyeberang sungai ketika
mahu pulang dari sawah sebelum berlakunya kejadian tersebut petang kelmarin.
SRI AMAN, Khamis (29 Mac) – Seorang wanita dikhuatiri lemas setelah perahu kecil
yang dinaiki oleh mangsa bersama dua orang anaknya karam di kawasan Sungai
Sinjur, Batang Lupar sekitar jam 3.30 petang kelmarin.
Mangsa yang dikhuatiri lemas dalam kejadian itu adalah Embang anak Bunyam,
48, dari Rumah Japar Anssam, Sinjur Undop, Sri Aman manakala dua orang lagi
anaknya yang terselamat ialah Alexson
Inggam Jantan, 15, dan Bradney Jantan, 12 tahun.
Sebelum berlakunya kejadian tersebut kata sumber, mangsa bersama dua orang
anaknya sedang bekerja di sawah yang terletak di kawasan seberang sungai dari
lokasi rumah panjang mereka.
“Ketika mahu menyeberang sungai dengan menggunakan perahu kecil untuk
pulang ke rumah panjang, cuaca ribut waktu itu dipercayai telah menghasilkan
gelombang sungai yang kuat hingga menolak perahu mangsa jauh dari kawasan
pengkalan rumah panjang.
“Kejadian ini menyebabkan perahu kecil mangsa bersama dua orang anaknya
terbalik dan seterusnya karam berhampiran dengan sebuah kawasan tebingan sungai
tidak jauh dari situ,” kata sumber.
Kedua-dua anak mangsa kata sumber berjaya berenang ke kawasan tebingan
sungai di situ dengan mangsa dipercayai hanya timbul sekali di permukaan sungai
sebelum terus tenggelam selepas itu.
Sementara itu pemangku Ketua Polis Daerah Sri Aman, ASP Ang Tuan Peck pihak
polis telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa sebaik sahaja menerima
laporan berhubung kejadian itu.
“Pihak polis telah melancarkan operasi ini bersama Jabatan Bomba Dan Penyelamat
serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dengan kekuatan seramai 14 orang dengan
menggunakan tiga buah bot.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa ini juga turut mendapat bantuan
daripada pihak Polis Marin dari Kuching yang telah tiba di tempat kejadian terbabit
pada petang ini,” katanya.
Pihak pasukan penyelamat bagaimanapun dilaporkan masih belum berhasil
menemui mangsa lemas menerusi operasi terbabit sehingga berita ini ditulis pada
jam 4.45 petang hari ini.
Tamat
No comments:
Post a Comment