Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, April 26, 2012

Masa laporan kunci kejayaan tumpaskan jenayah - Jusoh


Mugshot: DSP MAT JUSOH MUHAMMAD

SRI AMAN, Jumaat (20 April) – Masa memainkan peranan yang amat penting bagi menentukan keberkesanan pihak polis dalam menumpaskan kegiatan jenayah di kawasan penduduk dari masa ke semasa.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad berkata penduduk khasnya di kawasan Sri Aman perlu sedar bahawa keberkesanan tindakan pihak polis bergantung sepenuhnya kepada faktor jarak masa berkenaan.

“Penduduk perlu bertindak pantas menghubungi atau menemui pihak polis sekiranya terdapat kegiatan jenayah yang baru sahaja berlaku di kawasan penempatan masing-masing.

“Maklumat yang diterima oleh pihak polis akan disalurkan ke pusat kawalan. Dari situ pihak kita akan mengarahkan semua anggota untuk bertindak segera bagi membenteras aktiviti jenayah seperti kejayaan kita menumpaskan kes penipuan di Lingga pada 18 April lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Bilik Sidang, Ibupejabat Polis Daerah Sri Aman berhubung kes penipuan terhadap sebuah keluarga di Lingga petang kelmarin.

Selain itu penduduk di Sri Aman kata Jusoh juga boleh menghubungi Pusat Kawalan IPD Sri Aman menerusi talian telefon 083-322035 jika kejadian jenayah baru sahaja berlaku di kawasan mereka selepas ini.

Terdahulu pihak polis telah berjaya menahan tiga orang lelaki dan dua orang perempuan yang dipercayai terlibat dalam kes tipu terhadap sebuah keluarga di Lingga malam kelmarin.

Kesemua mereka ditahan setelah berlakunya adegan kejar-mengejar antara pihak polis dan saspek bermula jam 11.50 malam sebelum kenderaan yang diguna oleh saspek berjaya dipintas di simpang Temudok, Sri Aman.

Tamat.


No comments:

Post a Comment