Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, April 5, 2012

Sesi uji bakat Bintang Kecil RTM Sri Aman di Mini Stadium Sri Aman 6 hingga 7 April ini



SRI AMAN, Rabu (4 April)  – Jabatan Penyiaran Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri akan mengelolakan Sesi Uji Bakat Pertandingan Bintang Kecil 2012 bagi Peringkat Bahagian Sri Aman dan Betong bermula dari 6 hingga 7 April ini nanti.

Siaran media hari ini memberitahu sesi uji bakat bagi Bahagian Sri Aman dan Betong akan diadakan di Studio Mini Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman di Tapak Pesta Benak Sri Aman bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

“Penyertaan Pertandingan Bintang Kecil 2012 ini terbuka kepada semua kanak-kanak Warganegara Malaysia yang bermastautin di Sarawak dan lahir dari tahun 2001 hingga 2005.

“Salinan dan sijil kelahiran hendaklah dibawa bagi tujuan pengesahan ketika menghadiri uji bakat ini nanti,” katanya sambil menambah bahawa semua peserta dikehendaki menyanyikan lagi dalam Bahasa Melayu sesuai dengan konsep pertandingan tersebut.

Dengan para peserta tidak dibenarkan membawa lagu berentak Heavy Metal atau Hard Rock, kenyataan itu memberitahu bahawa para peserta amat digalakkan untuk membawa lagu berunsur patriotik ketika menghadiri sesi uji bakat itu nanti.

Setiap peserta katanya dikehendaki membawa Minus One sendiri sama ada dalam bentuk CD atau VCD apabila hadir pada sesi uji bakat tersebut dengan lagu berbentuk medley (dua lagu) dibenarkan bagi tujuan persembahan setiap peserta.

“Kita tidak akan menyediakan muzik kecuali bagi peringkat saringan akhir bagi Zon / Bahagian (Sarawak), Peringkat Negeri Sarawak dan Peringkat Kebangsaan memandang mereka akan diiringi oleh kugiran yang disediakan oleh pihak penganjur.

“Justeru mereka ingin mengetahui lebih lanjut tentang sesi uji bakat ini boleh menghubungi Tiong Ting Hung (RTM Sri Aman) di talian telefon 083-321121 atau 010-7816681 selepas ini,” katanya.

Kenyataan terbabit juga turut memberitahu bahawa penampilan para peserta dari segi pakaian, solekan dan hiasan hendaklah sesuai dengan alam kanak-kanak ketika menghadiri sesi uji bakat ini nanti.

“Pihak penganjur tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang perbelanjaan, kerosakan harta benda atau kecederaan dan kemalangan ke atas diri peserta ketika menghadiri sesi uji bakat itu nanti,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment