Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, April 3, 2012

Kerajaan cadang wujudkan institusi perguruan dan kolej kerajaan di Sri Aman



Caption: TAHNIAH...Harden sedang menyampaikan hadiah cabutan tiket bertuah kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh tetamu khas yang lain bersempena dengan program itu.

SRI AMAN, Rabu (28 Mac) – Kerajaan telah bercadang untuk mewujudkan institusi perguruan, kolej kerajaan dan vokasional di dalam Bandar Sri Aman demi mempertingkat taraf pendidikan di sini pada masa akan datang.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata cadangan ini timbul memandang syarikat swasta masih belum bersedia untuk mewujudkan kolej persendirian di bandar ini pada masa sekarang.

“Kajian sebelum ini menunjukkan bahawa pelajar di kawasan Sri Aman lebih cenderung untuk menyambung pelajaran masing-masing ke peringkat lebih tinggi di kolej swasta yang terdapat di Kuching.

“Justeru kita kini masih menunggu kertas kerja dan kajian lanjut bagi tujuan penubuhan institusi perguruan dan juga kolej kerajaan di Sri Aman dengan permohonan penubuhan vokasional bakal dilakukan selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sembang-Sembang Belia 2012 anjuran Pejabat Belia Dan Sukan Bahagian Sri Aman di bilik mesyuarat Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Selain itu Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menasihatkan para belia agar tidak mudah diperalatkan oleh pihak pembangkang bagi tujuan politik bersempena dengam musim pilihan raya akan datang.

“Jangan bawa sebarang isu kepada pihak pembangkang hanya semata-mata untuk tujuan publisiti murahan memandangkan mereka hanya mahu menggunakan isu terbabit bagi tujuan politik,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi dan Penolong Pegawai Belia Dan Sukan Bahagian Sri Aman, Ishrak Ismail.

Turut diselitkan dalam Program Sembang-Sembang Belia 2012 ini ialah sesi dialog, cabutan tiket bertuah, jamuan minuman ringan dan sesi nyanyian lagu karaoke.

Tamat.


No comments:

Post a Comment