Caption: SELAMAT...Gambar menunjukkan para pelajar SMK Sri Aman ketika
menggunakan kemudahan laluan pejalan kaki hasil tinjauan Utusan Sarawak sebelum
ini.
SRI AMAN, Rabu (4 April) – Kewujudan laluan pejalan kaki di Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Sri Aman akhirnya memberi keselesaan terhadap para pelajar
yang sering berjalan kaki menuju ke sekolah terbabit pada waktu persekolahan.
Tinjauan Utusan Sarawak di situ kelmarin mendapati bahawa para pelajar
memanfaatkan sepenuhnya kemudahan laluan pejalan kaki bersimen yang sudah pun
dibina di situ lebih dari sebulan yang lepas.
Dengan terbinanya kemudahan laluan pejalan kaki bersimen itu maka
keselamatan para pelajar SMK Sri Aman akan lebih terjamin ketika pergi atau
pulang sebaik sahaja tamat waktu persekolahan pada setiap hari.
Seorang bapa melahirkan rasa bangga terhadap usaha pihak sekolah dan
kerajaan kerana telah berusaha untuk menjaga kebajikan anak-anak mereka yang
menuntut di SMK Sri Aman selama ini.
Katanya terdapat banyak kenderaan yang melintasi kawasan perkarangan SMK
Sri Aman pada setiap masa dan ia dikhuatiri boleh menimbulkan risiko kemalangan
terhadap pelajar sekolah yang sering mundar-mandir di tepi jalan raya pada
setiap hari.
“Ia merupakan satu usaha yang baik. Risiko kemalangan yang membabitkan para
pelajar SMK Sri Aman mungkin akan dapat dielakkan dengan adanya kemudahan
laluan pejalan kaki terbabit,” katanya.
Sementara itu seorang penduduk iaitu Morgan Mok berkata kewujudan kemudahan
laluan pejalan kaki terbabit akan mengurangkan lagi kebimbangan pengguna
kenderaan selepas ini.
“Kami juga berasa bimbang ketika hendak memandu di kawasan sekolah pada
waktu tamat atau permulaan sesi persekolahan di SMK Sri Aman memandangkan para
pelajar sering berjalan memasuki laluan jalan raya kami.
“Kini berasa sedikit lega dengan adanya kemudahan tersebut. Justeru saya
berharap agar para pelajar SMK Sri Aman memanfaatkan sepenuhnya kemudahan
berkenaan dari masa ke semasa,” katanya.
Tamat.
No comments:
Post a Comment