Caption: UNTUK ALBUM...Darussalam (duduk tengah) ketika merakamkan gambar
kenangan bersama para peserta ketika berlangsungnya bengkel tersebut di Kuching
baru-baru ini.
KUCHING, Isnin (23 April) - Jabatan Penjara Malaysia telah mengadakan Bengkel Lembaga Hakim
Pelawat Peringkat Zon Penjara Sarawak bertempat di Grand Continetal, Kuching
bermula dari 20 hingga 21 April lepas.
Siaran media kepada Utusan Sarawak hari ini memberitahu bengkel tersebut
telah dirasmikan oleh Timbalan Komisioner Penjara, Haji Darussalam Haji Budin
merangkap Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan, Jabatan Penjara Malaysia (JPM).
Bengkel yang dihadiri oleh 21 orang peserta dari seluruh institusi penjara negeri
ini bertujuan untuk memberi kefahaman mendalam kepada mereka tentang peranan
dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas sebagai Urusetia dan Ahli Lembaga
Hakim Pelawat.
“Peranan Ahli Lembaga Hakim Pelawat dalam membantu JPM bagi mempertingkatkan
program pemulihan dan layanan kepada penghuni penjara adalah amat penting
kerana mereka merupakan badan berkecuali dan dilantik oleh Menteri Dalam
Negeri.
“Laporan hasil lawatan Lembaga Hakim Pelawat akan disemak oleh pihak
Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan JPM melaksanakan peranan,
tanggungjawab dan tugas selaras dengan akta, peraturan serta piawaian
antarabangsa dari masa ke semasa,” katanya.
Selain itu perkara ini menurut beliau adalah amat penting kepada
Kementerian Dalam Negeri dan JPM bagi mencapai visi Jabatan Penjara Malaysia
menjadi sebuah Institusi Koreksional Bertaraf Dunia menjelang tahun 2020.
Justeru beliau berharap agar Ahli Lembaga Hakim Pelawat dapat melaksanakan
tanggungjawab mereka dengan efisyen disamping memaklumkan kepada Pengarah
Institusi Penjara sekiranya timbul masalah ketika mengadakan lawatan di penjara
selepas ini.
“Lagipun pemilihan dan perlantikan Ahli Lembaga Hakim Pelawat dibuat
berdasarkan sumbangan mereka di dalam masyarakat dan hal ini perlu dimainkan
sebaik mungkin oleh mereka mulai sekarang,” katanya.
Hadir sama ialah Timbalan Penguasa Penjara, Hamad Seman, Ketua Bahagian
Pengurusan Banduan, Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Awang Othman Awang Chee,
Felicia Noeb dan Timbalan Penguasa, Mohd Kaspu Anwar dari Bahagian Pengurusan
Banduan, Ibu Pejabat Penjara Malaysia.
Tamat.
No comments:
Post a Comment