Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, April 10, 2012

Pasukan Cahaya Jen raih gelaran Raja Air Batang Lupar


Caption: TAHNIAH...Datuk Harden menyampaikan piala pusingan kepada Raja Air Batang Lupar iaitu Cahaya Jen sebaik sahaja berakhir acara Regatta sempena Pesta Benak Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Ahad (8 April) – Gelaran Raja Air Batang Lupar sempena Pesta Benak Sri Aman 2012 sah milik pasukan Cahaya Jen apabila mereka muncul sebagai johan Kategori Kejohanan Sakai 30 Lelaki yang berlangsung di Sungai Batang Lupar, Sri Aman hari ini.

Perahu pasukan Cahaya Jen milik Haji Zain Azman bin Sideni itu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,350, piala iringan dan piala pusingan menerusi kejohanan tersebut.

Manakala itu pasukan Landas Dua milik Jabatan Tanah Dan Survei Sri Aman muncul naib juara dengan pasukan Bujang Sigat Simanggang Empat milik Datuk Francis Harden Hollis muncul tempat ketiga bagi kategori tersebut.

Pasukan Landas Dua membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM1,050, piala iringan dan piala tempat kedua dengan pasukan Bujang Sigat Simanggang Empat membawa pulang hadiah wang tunai RM370, piala iringan dan piala tempat ketiga.

Sementara itu pasukan Kumus Raja Burung Manyi Terbang milik Majlis Daerah Sri Aman berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM900 dan piala apabila muncul sebagai juara Sakai 30 Lelaki bagi Kategori Kesian.

Kedudukan naib juara dimenangi oleh pasukan Enraz Bandarayaku milik Dewan Bandaraya Kuching Utara dengan pasukan Manyi Terbang Tedung Ngelangar Satu milik Henry Tuah muncul sebagai pasukan pemenang tempat ketiga.

Kemuncak Regatta pada hari ini juga turut diserikan dengan acara Lumba Bot Laju 40 Kuasa Kuda yang menyaksikan bot Seri Kelalong milik Jackson Tubam muncul juara bagi pertandingan tersebut.

Kemenangan Seri Kelalong diikuti oleh bot OH HAA milik Mansang Jimbai yang muncul di kedudukan naib juara dengan bot Babang Extreme juga milik Mansang muncul pemenang tempat ketiga bagi pertandingan itu.

Bagaimanapun satu kemalangan kecil berlaku pada acara itu apabila bot lumba yang dipandu oleh seorang peserta karam dipukul gelombang sungai yang disebabkan oleh bot pasukan pengiring di situ.

Terdahulu Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis sambil disaksikan oleh Residen Sri Aman, Johnathan Lugoh telah menyampaikan hadiah kepada pemenang kejohanan tersebut.

Turut diadakan ketika berlangsungnya Regatta terbabit semenjak 6 April lepas ialah Lumba Jet Ski, Sakai 10, 15, 20, 30 bagi pelbagai kategori, Lumba Benak dan Melawan Arus.
Tamat.

No comments:

Post a Comment