1. PENGHARGAAN...Menteri Muda
Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden Hollis (kiri) menyerahkan
cenderamata kepada Datuk Amar Johari (kanan) sambil disaksikan oleh Residen Sri
Aman, Johnathan Lugoh pada majlis itu malam tadi.
2. UNTUK ALBUM...Datuk Amar Johari
(duduk tengah) bersama dif kehormat ketika merakamkan gambar kenangan bersama
peserta Pertandingan Miss Tourism Benak malam tadi. Foto: HAMIMI KASIM
SRI AMAN, Sabtu (7 April) - Kementerian
Pelancongan bercadang untuk memperkenalkan perkhidmatan pesawat ‘amphibious’ di
Sri Aman dan Sungai Batang Lupar adalah kawasan yang dikenalpasti untuk tujuan
tersebut.
Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata jika cadangan tersebut menjadi kenyataan maka kemudahan logistik serta pengangkutan di Sri Aman akan dapat ditingkatkan selepas itu.
“Kelebihan pesawat amphibious ini
ialah ia mampu mendarat di atas air. Lagipun Sungai Batang Lupar terpilih bagi
tujuan cadangan ini memandangkan ia terletak di tengah kawasan yang
menghubungkan Batang Ai, Lubok Antu dan Kuching.
“Justeru pihak kita akan berbincang
dengan MASwings untuk memasukkan Sri Aman sebagai salah satu laluan pendaratan
pesawat amphibious,” katanya sambil menambah bahawa cadangan terbabit akan
dapat mempertingkatkan sektor pelancongan di Sri Aman pada masa akan datang.
Beliau berkata demikian ketika
ditemui para pemberita sebaik sahaja tamat Program Merakyatkan Seni Dan Budaya
sempena Pesta Benak Sri Aman 2012 yang berlangsung di Pentas Budaya Ria, Sri
Aman malam tadi.
Johari turut memberitahu pemberita
bahawa kawasan Batang Ai, Lubok Antu dan Bakun di Belaga juga turut dicadang
untuk menjadi lokasi pendaratan pesawat amphibious berkenaan.
Sementara itu beliau juga turut memberi
jaminan bahawa infrastruktur pelancongan di Sri Aman akan terus dipertingkatkan
demi menarik kedatangan lebih ramai pengunjung ke Bandar Merpati Putih ini pada
masa akan datang.
“Ia termasuklah usaha bagi membangunkan
semula Kubu Alice, pembinaan menara peninjau bersebelahan kubu itu dan juga
pembinaan hotel baru yang dijangka siap menjelang tahun depan.
”Ketiga-tiga projek ini melibatkan kos melebihi RM80 juta,” katanya sambil menambah bahawa pihaknya turut bercadang untuk menyediakan kemudahan ‘Boat Cruise’ bagi membolehkan pelancong menikmati pemandangan serta fenomena benak di sepanjang Sungai Batang Lupar di masa akan datang.
Terdahulu program anjuran Jabatan Kebudayaan
Dan Keseniaan Negara Negeri Sarawak turut dihadiri oleh para menteri kabinet
Kerajaan Negeri, wakil rakyat Barisan Nasional, para ketua jabatan dan penduduk
di sini.
Program itu telah diserikan dengan
acara saingan suku akhir Pertandingan Miss Tourism Benak, persembahan tarian
kebudayaan dan lagu oleh beberapa orang penyanyi dan artis tempatan di sini.
Tamat.
No comments:
Post a Comment