Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Saturday, April 18, 2020

Suasana 'koboi' terasa di Pekan Pantu, Sri Aman


PANTU: Jika anda mahu mencari pekan-pekan koboi di negeri ini maka Pekan Pantu mungkin boleh termasuk dalam senarai carian anda pada masa sekarang.

Ini kerana kawasan Pekan Pantu menjadi semakin lenggang terutama sekali selepas waktu tengah hari semenjak bermulanya penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

Tinjauan baru-baru ini mendapati bahawa aktiviti jualan sayur masih berlangsung di Pasar Tamu MDSA Pantu dengan jumlah peniaganya dilihat semakin kurang berbanding sebelum PKP.

Lagi pun deretan kedai runcit yang beroperasi di Pekan Pantu itu dilihat menutup operasi masing-masing pada waktu lebih awal berbanding dengan waktu penutupan operasi biasanya iaitu jam 5.30 petang.

"Pekan Pantu hanya meriah di waktu pagi dan lenggang di waktu petang. Namun situasi itu hanya berlaku sebelum bermula arahan PKP bagi membendung penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.

"Kini situasi itu sudah tidak sama lagi. Aktiviti jualan sayur di awal sudah semakin berkurangan dengan kedai runcit di sini akan ditutup lebih awal berbanding pada waktu biasa sebelum bermula PKP dahulu," kata Ricky Abang Lom, 42 tahun.

Sementara itu John Anis, 50, pula berpendapat agar penularan COVID-19 akan dapat berakhir cepat agar suasana di Pekan Pantu kembali hidup seperti biasa sebelum bermula PKP dahulu.

"Jika mahu menggelar Pekan Pantu sebagai pekan koboi pun saya tidak kisah. Sebaliknya saya amat berbangga dengan gelaran ini kerana Pekan Pantu sentiasa aman dan tidak pernah berlaku kes jenayah berat.

"Cuma kini arahan PKP menyukarkan kami untuk membeli barang di Pekan Pantu pada waktu petang...justeru diharap agar PKP ini tidak dilanjut semula selepas 28 April untuk menjadikan pekan ini kembali meriah di waktu awal pagi seperti dahulu,"katanya.

Tinjauan lanjut Utusan Sarawak juga mendapati anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (RELA) dan polis melakukan rondaan di sekitar kawasan pekan ini untuk memastikan penduduk mematuhi arahan PKP.

Terdahulu, kawasan pekan ini terletak kira-kira 76 kilometer dari Bandar Simanggang dan sering menjadi tumpuan ramai ketika berlangsungnya Pesta Pantu atau untuk mereka yang mahu memancing ikan di kawasan Batang Strap di sini.

No comments:

Post a Comment