Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Saturday, April 18, 2020

PKP tingkat cabaran pembelajaran anak-anak luar bandar



SIMANGGANG: Guru-guru di kawasan luar bandar menghadapi cabaran amat getir dalam meneruskan tanggungjawab mereka terhadap murid apabila sekolah ditutup akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

Ini kerana capaian internet di kawasan luar bandar adalah terhad sehingga menyukarkan guru untuk melakukan sesi kumpulan pembelajaran atas talian berbanding dengan guru di kawasan luar bandar.

"Disebabkan oleh kelemahan capaian internet di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tibu, Engkilili maka pihak kami telah bertindak menyedia dan mengedarkan kertas latihan ke rumah panjang murid-murid dari sekolah ini.

"Usaha ini berjalan lancar dengan para guru yang berasal dari rumah panjang berdekatan sekolah ini bertindak menyempurnakan tanggungjawab mereka berhubung perkara itu," kata salah seorang gurunya iaitu Raymond Tawie Phang.

Beliau ketika dihubungi Utusan Sarawak menerusi tinjauan berhubung perkara itu turut memberitahu bahawa para murid sekolahnya turut diminta menonton rancangan OKEY yang disiarkan di televisyen untuk memantapkan sesi pembelajaran masing-masing.

Sementara itu suri rumah iaitu Selbiah Pinuh ketika dihubungi Utusan Sarawak bagi tinjauan ini berpendapat bahawa ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk meneruskan sesi pembelajaran anak-anak di rumah jika tiada capaian internet yang kuat.

"Ibu bapa boleh memohon bantuan daripada jiran atau anak buah yang lebih berpengetahuan untuk mengadakan sesi pembelajaran ringkas untuk anak-anak pada setiap petang di rumah.

"Bagi saya tindakan ini adalah baik untuk membantu guru-guru di sekolah kawasan luar bandar untuk meneruskan sesi pembelajaran buat anak-anak pada setiap hari sepanjang perlaksanaan PKP ini," kata Selbiah.

Dia juga memohon kepada kerajaan untuk memperhebatkan usaha memperluas capaian internet di kawasan luar bandar agar anak-anak dapat belajar secara atas talian jika isu penularan pandemik seperti ini menular kelak.
Tamat

No comments:

Post a Comment