Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, September 5, 2012

Majlis Ramah Tamah di Gimnasium Rakyat



Caption: 1MALAYSIA... Pegawai Belia Dan Sukan Bahagian Sri Aman, Midah Jub (dua kanan) ketika merakamkan gambar kenangan bersama para ahli Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya di sini malam tadi.

SRI AMAN, Khamis (30 Ogos) – Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman telah mengadakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2012 bagi memeriahkan lagi suasana sambutan perayaan tersebut malam tadi.

Majlis yang bermula pada jam 6 petang itu telah berlangsung di Pusat Gimnasium Rakyat 1 Malaysia dalam kawasan Jalan Kolam Air dengan 40 orang ahli hadir bagi menjayakan penganjuran program tersebut.

Jurucakap penganjur, Saripah Lauyah ketika ditemui berkata Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2012 ini bertujuan untuk mewujudkan semangat perpaduan di antara ahli berbilang kaum dan agama dalam kelab terbabit.

“Semenjak ditubuhkan pada tahun 2008 dahulu, Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman telah mempunyai barisan para ahli yang terdiri daripada kaum Melayu, Iban, Bidayuh dan Cina.

“Ia sekaligus membuktikan wujudnya semangat 1 Malaysia di dalam kelab ini. Justeru pihak kelab telah mengadakan majlis berkenaan bagi membolehkan semua ahli menikmati kemeriahan suasana menyambut perayaan Hari Raya pada tahun ini,” katanya.

Selain itu komitmen pihak kelab dalam menjayakan Gagasan 1 Malaysia kata Saripah juga telah berbukti dengan adanya penganjuran Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak pada bulan Jun lepas.

Justeru pihaknya berharap agar majlis berunsur perpaduan seperti ini akan dapat mewujudkan keharmonian dikalangan para ahli Kelab Gimnasium Rakyat Sri Aman dari masa ke semasa.

Hadir sama ialah Pegawai Belia Dan Sukan Bahagian Sri Aman, Midah Jub dan kakitangannya, Mark Leeroy Anthony, Pengerusi Kelab Gimnasium Sri Aman, Isaac Stalin, Jurulatih Kelab, Yakob Zamahari dan para ahli yang lain.

Terdahulu Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2012 yang berakhir sekitar jam 10 malam ini turut diserikan lagi dengan aturcara jamuan makan malam dan sesi berkaraoke bersama para ahli yang berbakat.

Tamat.

No comments:

Post a Comment