Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, September 5, 2012

Kampung Muhibbah mahu serikan Hari Merdeka



Mugshot: RAMLI ABU SERA

SRI AMAN, Rabu (29 Ogos) – Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-55 di Sri Aman bakal diserikan lagi menerusi penganjuran Program Konvoi Cabaran Berbasikal Dan Motorsikal pada 31 Ogos ini nanti.

Program Konvoi Cabaran Berbasikal Dan Motorsikal yang akan bermula dari jam 7 hingga 10 pagi di Kampung Muhibbah Sri Aman itu bakal melibatkan sejumlah 40 orang peserta.

“Ia merupakan kali pertama pihak Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dengan kerjasama pihak Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kampung Muhibbah Sri Aman menmganjurkan program seperti ini bersempena dengan sambutan hari bersejarah tersebut.

“Kesemua 40 peserta ini akan menggunakan basikal dan motorsikal untuk berkonvoi sejauh tiga kilometer bermula dari Kampung Muhibbah Sri Aman sambil membawa bendera Jalur Gemilang,” kata jurucakap penganjur iaitu Ramli Abu Sera.

Menurut beliau Program Konvoi Cabaran Berbasikal Dan Motorsikal ini mempunyai objektifnya yang tersendiri iaitu untuk menarik penyertaan anak muda dalam program berbentuk patriotik seperti itu.

Penglibatan anak muda dalam program seperti ini kata Ramli secara tidak langsung akan dapat menanam semangat nasionalisme di dalam diri mereka dalam menjaga kestabilan politik negara pada masa akan datang.

“Golongan ini harus dididik dari kecil mengenai nilai-nilai sejarah yang terdapat dalam sambutan Hari Kemerdekaan agar ia dapat menyemai sikap cintakan negara apabila mereka sudah membesar kelak.

“Justeru saya berharap agar Program Konvoi Cabaran Berbasikal Dan Motorsikal ini dapat menyedarkan golongan muda terhadap nikmat kemajuan negara yang telah dikecapi oleh mereka pada masa sekarang,” katanya.

Ramli turut menambah bahawa pihaknya akan turut menganjurkan Majlis Ramah –Tamah sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Muhibbah, Sri Aman pada 7 atau 8 September kelak.

Tamat.

No comments:

Post a Comment