Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, September 5, 2012

Jangan tuduh wakil rakyat BN tidak bekerja - Masir



Caption: PANTAU... Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat (baju coklat) bersama Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden dan rombongan ketika melakukan tinjauan di tapak projek baikpulih hakisan tanah bukit SK Saint Luke Sri Aman petang kelmarin.

SRI AMAN, Selasa (4 Sept) – Pihak pembangkang diingatkan agar tidak menuduh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) gagal melaksanakan projek pembangunan besar di kawasan Sri Aman.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata tuduhan pihak pembangkang selama ini nyata tidak tepat dengan terlaksananya dua buah projek dalam kawasan Sri Aman yang bakal mengubah taraf hidup rakyat di sini pada masa akan datang.

“Projek pembinaan hospital baru bernilai RM200 juta dan naiktaraf Loji Parawatan Air Empango Bayai bernilai RM43 juta yang sedang giat dilaksanakan di Sri Aman pada masa sekarang adalah bukti bagi menentang dakwaan daripada pihak terbabit.

“Justeru saya berharap agar pihak pembangkang lebih berhati-hati dengan kata-kata tuduhan mereka sendiri mulai sekarang jika berbangkitnya isu mengenai pembangunan hidup rakyat di Sri Aman selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai upacara serah dokumen kontrak projek baikpulih hakisan tanah daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman kepada syarikat Megas Maju Sendirian Berhad di SMK Saint Luke kelmarin.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis bersama Masir telah melakukan lawatan tapak projek membaikpulih hakisan tanah di kawasan berbukit SK Saint Luke yang menelan kos bernilai RM650,000.

Projek baikpulih hakisan tanah yang dilaksanakan oleh syarikat Megas Maju Sendirian Berhad secara rasminya bermula kelmarin dan akan berlangsung selama 26 minggu hingga tarikh akhirnya pada 3 Mac tahun hadapan.

Jurutera Bahagian JKR Sri Aman iaitu Cassidy Morris telah menyerahkan dokumen projek kepada syarikat Megas Maju sambil disaksikan Harden bersama dengan Masir Kujat dan kakitangan kerajaan yang lain.

Tamat.


No comments:

Post a Comment