Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, September 5, 2012

2,000 penduduk meriahkan merdeka di Simunjan



Caption: RASMI...Wakil Pegawai Daerah Simunjan, Danny Lansdle sedang menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada anggota polis untuk dikibarkan di tiang pada malam kemuncak Hari Merdeka di Simunjan pada 30 Ogos lepas.

Abang Naim Abang Fauzi

SIMUNJAN, Isnin (3 Sept) – Seramai 2,000 orang penduduk membanjiri kawasan Padang Sentral, Simunjan untuk memeriahkan Program Sambutan Malam Ambang Kemerdekaan anjuran SABERKAS DUN N.21, Simunjan pada malam 30 Ogos lepas.

Kemuncak kepada sambutan perayaan tersebut ialah upacara menaikkan bendera Jalur Gemilang pada detik malam kemerdekaan sambil disusuli dengan persembahan hiburan daripada penyanyi Pop Yeh-Yeh iaitu Datuk Jefriden dan Pertunjukan Bunga Api.

Pengerusi SABERKAS DUN Simunjan, Rahman Haji Poni berkata program ini bertujuan untuk menyemarakkan lagi suasana sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-55 disamping menyemai semangat patriotisme dalam diri setiap penduduk di sini.

“Selain itu Program Sambutan Malam Ambang Kemerdekaan ini juga berfungsi sebagai platform untuk mengeratkan hubungan tali silaturahim dikalangan penduduk berbilang kaum dalam kawasan Simunjan.

“Dengan kehadiran dan sokongan orang ramai maka saya berharap agar program ini menjadi inspirasi untuk kita bagi menghayati erti kemerdekaan dalam mewujudkan hubungan 1Malaysia bersama semua kaum,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Terdahulu program sambutan hari merdeka di Simunjan yang dimulakan dengan Program Kembara Merdeka Raya pada 28 Ogos telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Hajah Nancy Haji Shukri.

Konvoi diketuai oleh Rahman yang melibatkan sejumlah 12 buah Kereta Nasional dan 20 buah motosikal itu bermula dari Pekan Simunjan menuju ke Sebangan, Sebuyau, Kota Samarahan dan Serian sebelum berakhir di Pekan Simunjan pada malam 30 Ogos.

Pelbagai aktiviti lain turut diadakan bagi memeriahkan suasana sambutan program tersebut antaranya ialah Pertunjukan Pentas, Pertandingan Senaman Poco-Poco, Karaoke dan Cabutan Tiket Bertuah.

Hadir sama ialah Setiausaha Cawangan, Parti Bersatu Bumiputera (PBB), DUN Simunjan, Raili Ali selaku mewakili ADUN Simunjan,  Datuk Haji Mohd Naroden Haji Majais, wakil Pegawai Daerah Simunjan, Danny Lansdle Rajau, para pegawai kanan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat

No comments:

Post a Comment