Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, September 5, 2012

PPWS Kuching lawat PPWS Sri Aman



Caption: BANGGA...Sebahagian dari ahli rombongan PPWS Kawasan Sri Aman bergambar kenangan di salah satu lokasi di Semenanjung Malaysia sempena lawatan sambil belajar perkumpulan tersebut minggu lepas.

SRI AMAN, Selasa (28 Ogos) – Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kawasan Sri Aman telah mengadakan lawatan sambil belajar ke beberapa lokasi di Semenanjung Malaysia pada minggu lepas.

Siaran media kepada Utusan Sarawak hari ini memberitahu rombongan lawatan sambil belajar kali kedua ke Semenanjung Malaysia ini telah disertai seramai 15 orang ahli perkumpulan sambil diketuai oleh pengerusinya Nur Khatijah Abdullah.

“Lawatan muhibah sambil belajar ke Semenanjung Malaysia ini bertujuan untuk menimba ilmu dan pengelaman disamping mendedahkan para ahli kepada perkara-perkara baru sambil melancong.

“Ia dimulai dengan mengunjungi beberapa buah lokasi menarik di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam seperti Putrajaya, Bangunan Kembar Petronas (KLCC) dan kawasan I-City Shah Alam,” katanya.

Selain itu rombongan PPWS kawasan Sri Aman kata Khatijah juga berkesempatan untuk menaiki keretapi Light - Rail Transit (LRT) yang merupakan pengalaman baru bagi para ahli tersebut.

Rombongan PPWS kawasan Sri Aman katanya juga telah bertolak ke Melaka untuk menginap Magic Homestay  dengan kedatangan mereka ini disambut oleh pengurus penginapan terbabit iaitu Rafi Ahmad.

“Di Melaka kami telah dibawa melawat oleh Rafi ke kawasan Bandar Hilir dan Bandaraya Bersejarah untuk melihat lokasi bersejarah hasil penaklukan Portugis seperti A-Famosa dan bangunan bersejarah yang lain.

“Kami juga berkesempatan menikmati keindahan di sepanjang kawasan tebingan Sungai Melaka dengan menaiki River Cruise sebelum berangkat ke Noor Arfa Batik House untuk mendengar taklimat tentang pembuatan batik di situ,” katanya.

Kesemua ahli rombongan PPWS kawasan Sri Aman katanya telah menjadikan Taman Buaya, Taman Botanikal, Perigi Hang Tuah dan Rumah Melaka sebagai lokasi lawatan terakhir mereka sebelum berangkat pulang ke Sarawak.

“Para ahli rombongan yang mengambil bahagian dalam lawatan sambil belajar ini nyata melahirkan rasa puas hati terhadap program seperti ini dan justeru berharap agar ia dapat diadakan pada masa akan datang,” kata Khatijah.

Turut serta dalam rombongan sambil belajar ke Semenanjung Malaysia ini ialah Pengerusi PPWS Daerah Sri Aman, Saidah Saibi dan Pengelola PPWS Kawasan Sri Aman, Jenny Goh.

Tamat.

No comments:

Post a Comment