Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, August 26, 2012

Penduduk Cina Simanggang terima Laptop



Caption: TERIMALAH... Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat sedang menyerahkan komputer riba 1 Malaysia kepada Chaw Phee Liew pada majlis ringkas penyerahan komputer tersebut kelmarin.

SRI AMAN, Sabtu (18 Ogos) – Komuniti Cina di kawasan Sri Aman nyata tidak diabaikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) berhubung usaha menaiktaraf sosial hidup mereka pada masa sekarang.

Ia terbukti apabila seramai 50 orang penduduk Cina di Sri Aman menerima komputer riba 1 Malaysia yang disampaikan Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat menerusi majlis ringkas yang berlangsung di sebuah restoran di sini pagi kelmarin.

“Kerajaan BN sedang mengagihkan sejumlah 1,250 unit komputer riba 1 Malaysia kepada penduduk di tiga buah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Sri Aman iaitu Balai Ringin, Bukit Begunan dan Simanggang.

“50 unit komputer riba daripada jumlah ini sudah pun diberi kepada penduduk Cina. Justeru saya berharap agar penduduk sedar bahawa usaha pembangunan kerajaan adalah untuk semua kaum di negara ini,” kata Masir.

Beliau juga menasihatkan penerima komputer riba 1 Malaysia untuk memanfaatkan kemudahan tersebut dengan sebaik yang mungkin bagi tujuan naiktaraf penduduk dan keluarga mereka selepas ini.

Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan atau biro wanita yang sudah menerima kemudahan tersebut katanya boleh mempertingkatkan pengurusan organisasi masing-masing pada masa akan datang.

“Kesemua 1,250 unit komputer riba 1 Malaysia ini akan diagihkan kepada semua penduduk oleh kerajaan dalam kawasan Parlimen Sri Aman sehingga bulan September tahun ini.

“Saya berharap agar penerima komputer riba 1 Malaysia ini dapat menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh kerajaan BN bagi menaiktaraf sosial hidup mereka dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau juga turut mengagihkan sejumlah 60 buah unit komputer riba 1 Malaysia kepada penduduk di Sengkuang Ulu, Undop Batu Lintang menerusi majlis pemimpin bersama rakyat yang berlangsung di situ kelmarin.

Tamat.




No comments:

Post a Comment