Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, August 27, 2012

Korbankan pagi raya demi tugas



Caption: SEDIA BERBAKTI...Suzana Kassim (kanan) bersama rakannya ketika melaksanakan tugas untuk mengawal dan menjaga kenderaan milik penduduk yang menunaikan sembahyang sunat di Masjid Bandar Sri Aman pada hari pertama sambutan Hari Raya di sini.

SRI AMAN, Sabtu (25 Ogos) – Acapkali menjelang perayaan utama, ramai penduduk akan lebih memberi fokus untuk mengambil hari cuti setelah berpenat-lelah bekerja untuk pihak syarikat mahupun kerajaan selama ini.

Namun niat seperti ini nyata amat berbeza buat diri Suzana Kassim apabila beliau sanggup mengorbankan sedikit masa bersama keluarga demi tugas ketika berlangsungnya sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri di Sri Aman.

Wanita aktif itu telah menawarkan dirinya untuk bertugas sebagai anggota Pasukan Sukarelawan Rakyat atau RELA ketika para penduduk muslim sibuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya di Masjid Bandar Sri Aman pada 19 Ogos lepas.

“Saya sepatutnya meluangkan masa bersama ahli keluarga pada waktu pagi Hari Raya. Namun begitu disebabkan oleh faktor tugas, saya telah korbankan sedikit masa ini untuk pergi ke Masjid Bandar Sri Aman,” katanya.

Menurut Suzana, beliau telah bertugas sebagai anggota RELA bagi mengawal keadaan trafik disamping memantau keselamatan kenderaan milik penduduk Islam yang menunaikan sembahyang sunat di masjid tersebut.

Katanya kehadiran beliau dan rakan anggota RELA yang lain nyata memainkan peranan cukup penting walaupun mereka terpaksa mengorbankan sedikit masa bersama ahli keluarga ketika hari pertama sambutan perayaan ini.

“RELA bertugas tanpa mengira waktu. Kita perlu memikirkan perkara ini terlebih dahulu sebelum tekad untuk menyertai RELA khasnya bagi golongan wanita yang mahu bergiat aktif dalam pasukan seperti ini pada masa akan datang.

“Justeru kami amat berterima kasih kepada pihak Masjid Bandar Sri Aman kerana menyedari kepentingan peranan RELA dalam membantu hal ehwal pengurusan kenderaan penduduk di lokasi mereka selama ini,” katanya.

Selain menyertai RELA, Suzana juga bergiat aktif dalam Perkumpulan Persekutuan Wanita Sarawak (PPWS) apabila memegang jawatan pengerusi bagi PPWS Kampung Hulu Sri Aman.

Tamat.


No comments:

Post a Comment