Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, August 26, 2012

Parlimen Sri Aman berhadapan pertandingan 4 penjuru - Masir


Caption: SERIUS...Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat sedang menyampaikan amanatnya ketika berlangsungnya Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sengkuang Ulu, Sri Aman baru-baru ini.

SRI AMAN, Khamis (23 Ogos) – Parlimen Sri Aman dijangka akan berhadapan dengan pertandingan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang kata penyandang kerusi parlimen tersebut, Masir Kujat.

Kerusi Parlimen Sri Aman yang dimiliki oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) semenjak tahun 2008 lepas katanya dijangka berhadapan dengan Parti Pekerja Sarawak (SWP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan pihak Bebas.

“Barisan Nasional (BN) menerusi PRS akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Sri Aman daripada ketiga-tiga lawan terbabit (SWP, PKR @ DAP dan BEBAS menjelang PRU-13 kelak.

“Ini negara demokrasi dan mana-mana pihak pun boleh bertanding. Justeru saya menerusi mandat yang telah diberikan oleh BN sebelum ini akan terus bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Sri Aman bagi pihak PRS,” katanya.

Masir berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rumah Thomas Laman, Sengkuang Ulu, Undop, dalam kawasan Batu Lintang Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu beliau juga mahu rakyat sedar bahawa projek pembangunan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan BN pada masa sekarang tidak akan tertangguh sekiranya rakyat terus memilih mereka selepas PRU nanti.

“Jika BN menang maka pembangunan itu akan dapat diteruskan,” kata Masir sambil menambah bahawa projek bernilai RM20,000 bagi menaiktaraf sistem peparitan di kawasan Sengkuang sudah pun diluluskan pada masa sekarang.

Terdahulu Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sengkuang Ulu, Undop ini telah dirasmikan oleh Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis.

Hadir sama ialah Pegawai JASA Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Penolong Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Mohd Nor Ismail, wakil Ketua Polis Daerah Sri Aman, Melay Tingom, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Harden mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada JKKK dan RM3,000 kepada biro wanita rumah panjang tersebut manakala Masir pula mengumumkan peruntukan bernilai RM8,000 untuk rumah panjang berkenaan.

Tamat.



No comments:

Post a Comment