Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, August 14, 2012

Kempen Rayuan Hari Pahlawan pantau sokongan rakyat - Monday



Caption: PRIHATIN...Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden sedang menyampaikan sumbangan kepada seorang veteran tentera yang sudah uzur sambil diiringi oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak, Leftenan Kolonel Monday pada Kempen Kutipan Rayuan Hari Pahlawan kelmarin.

SRI AMAN, Jumaat (10 Ogos) - Kempen Rayuan Hari Pahlawan adalah merupakan modus operandi pihak kerajaan bagi melihat maklumbalas rakyat terhadap sumbangan bekas anggota tentera di negara ini.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Sarawak, Leftenan Kolonel Monday Juhid berkata kempen seperti ini sebenarnya bukan bertujuan untuk meminta sumbangan kewangan dari rakyat namun penghargaan mereka terhadap jasa anggota tentera selama ini.

“Saya percaya bahawa banyak pihak akan mempersoalkan peranan kerajaan kita dalam membantu kebajikan hidup para anggota tentera yang sudah bersara dari perkhidmatan sebelum ini.

“Bantuan daripada kerajaan sememangnya ada. Cuma yang harus rakyat ketahui sekarang ialah Kempen Rayuan Hari Pahlawan ini bertujuan untuk menuntut ucapan ‘Terima Kasih’ daripada mereka dan bukannya duit,” menurut beliau.

Monday berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Kutipan Rayuan Hari Pahlawan anjuran Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman kelmarin.

Selain itu Kempen Rayuan Hari Pahlawan kata beliau juga memberi ruang kepada rakyat untuk membalas pengorbanan bekas anggota tentera yang pernah berjuang demi keselamatan hidup mereka selama ini.

“Sumbangan yang kita terima daripada rakyat akan disalurkan ke dalam Tabung Hari Pahlawan bagi membantu kebajikan hidup bekas tentera bagi kategori Veteran Tidak Berpencen.

“Justeru saya berharap agar rakyat memberi ucapan Terima Kasih kepada golongan belas tentera yang ternyata berjaya mewujudkan keamanan negara kita pada masa sekarang,” katanya.

Terdahulu Majlis Pelancaran Kempen Kutipan Rayuan Hari Pahlawan ini telah dirasmikan oleh Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis.

Beliau pada majlis itu telah mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada PBTM Sri Aman untuk disalurkan ke dalam Tabung Hari Pahlawan dan RM5,000 lagi untuk Sri Kandi persatuan tersebut.

Turut diadakan pada majlis itu ialah penyampaian sumbangan kepada 20 orang balu veteran tentera, veteran tentera 70 tahun ke atas dan veteran cedera ketika operasi dari Tabung Rayuan Hari Pahlawan.

Sejumlah 11 orang balu veteran dan veteran tentera turut menerima sumbangan daripada PBTM cawangan Sri Aman dengan 17 orang Sri Kandi cawangan persatuan tersebut menerima kad ahli.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Johnathan Lugoh, Pengerusi PBTM Sri Aman, Nalang Selingau bersama pengerusi tetapnya Beliang Bali, penerima pingat George Cross, Awang Raweng, bekas tentera dan para wakil pegawai kerajaan di sini.

Tamat.






No comments:

Post a Comment