Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, August 2, 2012

Jawah, Sng dan Donald Lawan harus batal niat bertanding PRU - Masir



Caption: RASMI...Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat (empat kanan) ketika bersama Tr Philiy menyempurnakan upacara memotong kek harijadi beliau sambil disaksikan oleh (dari kiri sekali) Henry, Cassidy, Noor Hayati, Maruni dan Whelton bersempena dengan Program Komuniti Bestari di Entulang Jambatan hari ini.

SRI AMAN, Selasa (24 Julai) – Barisan pemimpin seperti Datuk Sng Chee Hua, Jawah Gerang dan Donald Lawan seharusnya membatalkan niat mereka untuk menentang Barisan Nasional (BN) bertanding di Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Komuniti Bestari Dan Kepenggunaan di Rumah Philly Enche, Entulang Jambatan, Sri Aman hari ini.

“Sng dan Jawah dari Parti Pekerja Sarawak (SWP) manakala Donald pula dari Bebas. Ketiga-tiga mereka ini dahulu pernah menjadi wakil rakyat sebelum berhenti dan mula berkempen menentang BN di Lubok Antu dan Sri Aman pada masa sekarang.

“Ketiga-tiga bekas pemimpin ini seharusnya berhenti bertindak demikian. Lagipun adalah amat baik jikalau tindakan mereka itu ditukar menjadi satu usaha untuk membantu BN membangunkan hidup rakyat dan bukannya menghasut pemikiran mereka,” katanya.

Selain itu beliau juga menasihatkan para Tuai Rumah di kawasan Parlimen Sri Aman untuk berhati-hati dengan tindakan segelintir pihak yang sedang meracuni pemikiran rakyat menerusi kempen mereka selepas ini.

Semua Tuai Rumah kata Masir perlu menyedarkan golongan muda di rumah panjang masing-masing bahawa segala fitnah yang dilemparkan oleh pihak tersebut terhadap diri beliau dan kerajaan BN adalah palsu belaka selama ini.

“Itu satu taktik mereka untuk mengalihkan sokongan rakyat terhadap saya (BN). Perkara seperti ini akan sentiasa berlaku acapkali menjelang pilihan raya demi kepentingan politik mereka sendiri.

“Justeru saya berharap agar rakyat dalam kawasan Parlimen Sri Aman meneruskan sokongan padu mereka terhadap kerajaan pimpinan BN demi masa depan hidup mereka pada PRU-13 ini nanti,” katanya.

Terdahulu program tersebut adalah merupakan anjuran Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (PDNKK) Bahagian Sri Aman, Pejabat Penerangan Daerah Sri Aman dan JKKK Rumah Philley.

Hadir sama ialah Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Cassidy Morris, Pegawai JASA Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Penolong Jurutera Jabatan Saliran Dan Peparitan Sri Aman, Henry Tuah, wakil Ketua Pejabat PDNKK Sri Aman, Maruni Langga dan wakil Pejabat Residen Sri Aman, Noor Hayati Ahmad.

Masir pada majlis itu mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada Rumah Philily dengan RM4,000 dari jumlah itu diagih kepada JKKK, RM3,000 agih kepada biro wanita manakala selebihnya untuk membeli benih sawit atau anak pokok getah.

Tamat.


No comments:

Post a Comment