Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, August 2, 2012

Angkat Bubur Lambuk dan Asyura jadi produk pelancongan - Mashore



Caption: UNTUK ALBUM... Pegawai Perpaduan Dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman iaitu Ricardo Dolhen (duduk tiga kiri) ketika merakamkan gambar bersama ketua kaum dan pengerusi pertubuhan bersempena dengan Majlis Pengagihan Bubur Lambuk Dan Bubur Pedas anjuran KRT dan JKKK Tanjung Engkabang di sini kelmarin.

SRI AMAN, Selasa (31 Julai) – Bubur Lambuk, Bubur Pedas dan Bubur Asyura sememangnya menjadi ikon penting acapkali berlangsungnya sambutan Bulan Ramadan di negeri ini pada setiap tahun.

Justeru Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tanjung Engkabang, Mas Mashore Haji Maslem percaya ketiga-tiga bubur tersebut boleh diangkat sebagai salah satu produk niaga penting dikalangan penduduk Islam pada masa akan datang.

“Sebut sahaja Bulan Ramadan sudah tentunya kita akan teringat kepada bubur tersebut. Kemunculan bubur ini seolah-olah dinantikan oleh semua penduduk secara bermusim terutama sekali dikalangan muslimin serta muslimah dan bukannya pada setiap hari.

“Ia sekaligus membuktikan bubur-bubur ini mempunyai potensi pasaran yang tinggi. Kalau ia diangkat menjadi satu produk khas saya percaya ia boleh mempertingkatkan taraf ekonomi penduduk bumiputera Sarawak selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pengagihan Bubur Lambuk Dan Bubur Pedas anjuran KRT dan JKKK Tanjung Engkabang yang berlangsung di sini kelmarin.

Selain itu Mashore juga berharap agar pihak tertentu untuk sentiasa tampil membantu Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam menjayakan aktiviti kemasyarakatan di kawasan Sri Aman.

“Majlis ini misalannya menyaksikan kesemua penduduk tanpa mengira kaum dan agama di kawasan Sri Aman menerima sejumlah 260 bungkusan Bubur Lambok dan Bubur Pedas.

“Ia merupakan inisiatif pihak KRT dan JKKK Tanjung Engkabang dalam mewujudkan kemesraan antara penduduk berbilang kaum disamping mengeratkan lagi hubungan perpaduan di kalangan mereka dari masa ke semasa,” katanya.

Terdahulu Pengagihan Bubur Lambuk Dan Bubur Pedas anjuran KRT serta JKKK Tanjung Engkabang ini telah disempurnakan oleh Pegawai Perpaduan Dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman iaitu Ricardo Dolhen.

Hadir sama ialah Penolong Pegawai Perpaduan iaitu Siti Rohani, Sapuan dan Nor Hapipi, Penghulu Haji Abang  Mohd Salleh, Pemanca Mas Shamsiah Haji Maslem, para Ketua Kampung serta pengerusi JKKK di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment