Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, August 14, 2012

Amalkan sikap toleransi agama dan kaum - Nyalau



Caption: IKHLAS... Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau sedang menyampaikan sumbangan raya kepada penerima sambil disaksikan oleh ADUN Engkilili, Dr Rayong dan para tetamu khas sempena Program Muhibbah 1Malaysia di Engkilili malam kelmarin.

ENGKILILI, Selasa (7 Ogos) – Masyrakat majmuk di negeri ini terutama sekali dalam kawasan Engkilili dinasihat agar sentiasa mengekalkan sikap toleransi agama serta kaum di antara satu-sama yang lain.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata sikap toleransi kaum dan agama terbabit adalah amat penting demi mewujudkan kestabilan politik negeri serta negara dari masa ke semasa.

“Saya dapat membayangkan bahawa akan berlaku rusuhan sekiranya masyarakat majmuk dalam sesebuah negara itu tidak mengamalkan sikap toleransi berkenaan bermula dari dahulu hingga sekarang.

“Justeru saya mengajak masyarakat berketurunan Melayu, Iban dan Cina dalam kawasan Engkilili untuk menyayangi kestabilan politik yang mereka nikmati sekarang dengan mengekalkan semangat seperti itu untuk sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Muhibbah 1Malaysia anjuran Jabatan Penerangan Daerah Sri Aman yang berlangsung di Kampung Melayu, Engkilili malam kelmarin.

Selain itu Nyalau juga menasihatkan masyarakat di Engkilili agar tidak mudah berjinak-jinak dengan kehadiran parti politik baru yang sedang mencari penyokong mereka pada masa sekarang.

“Jangan percaya jika mereka mendakwa bahawa parti mereka adalah mesra Barisan Nasional (BN) memandangkan hanya terdapat empat komponen parti BN yang terdapat di Sarawak.

“Antara parti komponen BN ini ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS). Selebihnya (parti politik) di sini adalah bukan BN,” kata beliau.

Terdahulu Nyalau telah menyampaikan sumbangan Hari Raya dan wang kepada fakir miskin sebanyak RM100 seorang pada majlis yang turut dianjurkan dengan kerjasama JKKK Kampung Melayu Engkilili itu.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pegawai Penerangan Bahagian Sri Aman – Betong, Saini Bojeng, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Fachrio Ferdiand Shah, Penyelia JASA Parlimen Lubok Antu, Jeoffery Baja dan Pembantu Luar Kanan DUN Engkilili, Edwin Ancheh.

Tamat.

No comments:

Post a Comment