Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, August 27, 2012

Jangan abai aspek perpaduan - Harden


Caption: UNTUK ALBUM... Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden bersama isteri, Datin Simba ketika merakamkan gambar kenangan bersama ahli rombongan dan ketua kaum di hadapan pintu gerbang Kampung Muhibbah kelmarin.

SRI AMAN, Sabtu (25 Ogos) –  Rakyat berbilang kaum di negeri ini tidak harus mengabaikan betapa pentingnya aspek perpaduan yang diterapkan dalam kehidupan diri masing-masing selama ini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata hubungan perpaduan seperti ini akan mewujudkan kestabilan politik negara khasnya dalam negeri Sarawak dari masa ke semasa.

“Atas sebab inilah Kerajaan Barisan Nasional (BN) sering mengalakkan semua rakyat berbilang kaum di negeri ini untuk saling bersatu-padu dan hidup dalam satu rumpun bangsa demi mengeratkan hubungan perpaduan dikalangan mereka.

“Saya yakin kestabilan politik yang wujud hasil daripada hubungan perpaduan ini akan dapat menyumbang kepada kepesatan pembangunan negara khasnya negeri Sarawak pada masa akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika mengadakan kunjungan Perayaan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Muhibbah, Sri Aman kelmarin.

Selain itu Harden juga berharap agar rakyat berbilang kaum dalam kawasan Sri Aman untuk mengutamakan kepentingan pembangunan hidup daripada kepentingan peribadi masing-masing.

Dengan kata lain rakyat berbilang kaum kata beliau perlu terus menyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) demi menjamin masa depan pembangunan hidup mereka selepas ini.

“Kerajaan BN dapat menjamin masa depan hidup rakyat dalam negara ini termasuk Sarawak dari segi pelbagai aspek sekiranya terus mendapat sokongan daripada mereka pada PRU13 akan datang.

“Justeru saya berharap agar sokongan rakyat terhadap Kerajaan BN tidak diganggu oleh kepentingan peribadi masing-masing berbanding pembangunan pada PRU13 ini nanti,” menurut beliau.

Terdahulu Harden bersama isteri, Datin Simba Nalang serta ketua kaum dalam kawasan Sri Aman telah meluangkan masa untuk berkunjung ke beberapa buah perkampungan Melayu di Sri Aman bersempena perayaan terbabit.

Tamat.

No comments:

Post a Comment