Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, August 14, 2012

Bangunkan tanah dengan tanaman komersial - Nyalau


Caption: TERIMALAH... Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau sedang menyampaikan cek kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong ketika berlangsungnya Majlis Mesra Rakyat di Lidong hari ini.

ENGKILILI, Rabu (8 Ogos) – Penduduk di kawasan luar bandar perlu mempertingkatkan taraf hidup ekonomi masing-masing dengan melibatkan diri dalam projek pertanian secara komersial.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata penduduk luar bandar mempunyai kelebihan dari segi usaha terbabit memandangkan mereka memilik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bagi tujuan itu.

“Penduduk luar bandar terutama sekali dari rumah panjang boleh berkecimpung dalam bidang penanaman sawit, getah, koko atau lada sama ada secara usahasama (syarikat) atau pun secara persendirian di atas tanah NCR milik mereka.

“Usaha ini boleh mengubah taraf hidup mereka selagi mereka serius melakukannya. Justeru jangan biarkan tanah NCR terbengkalai tanpa adanya usaha bagi memajukan hidup keluarga masing-masing selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Mesra Rakyat Bersama Barisan Nasional (BN) yang berlangsung di Rumah Cherang, Lipat, Lidong dalam kawasan Engkilili hari ini.

Selain itu Nyalau juga menasihatkan penduduk agar tidak mendengar hasutan pihak pembangkang sekiranya mereka berminat untuk mengusahakan tanah NCR milik masing-masing dengan usahasama syarikat swasta dan kerajaan.

“Jangan biarkan hidup anda terus mundur hanya disebabkan oleh hasutan pihak tersebut. Mereka itu hanya mahu meraih sokongan politik penduduk dan bukannya mahu melihat penduduk hidup senang menerusi usaha tersebut dari masa ke semasa,” katanya.

Terdahulu majlis anjuran JASA Bahagian Sri Aman Hadir itu turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pembantu Luar Kanan JASA DUN Engkilili, Edwin Ancheh dan para ketua kaum di sini.

Nyalau pada majlis itu mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 kepada JKKK Rumah Cherang selaku penganjur bersama majlis itu dan seterusnya menyampaikan cek bernilai RM20,000 juga kepada rumah panjang terbabit.

Tamat. 

No comments:

Post a Comment