Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, August 26, 2012

Rakyat perlu rajin sebar usaha pembangunan BN - Harden


Caption: UNTUK RAKYAT... Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden menyampaikan komputer riba 1 Malaysia kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sengkuang Ulu, Sri Aman kelmarin.

SRI AMAN, Sabtu (18 Ogos) – Rakyat perlu menyebarkan berita mengenai usaha pembangunan yang dilaksana oleh kerajaan kepada golongan rakyat yang masih berdegil untuk menerima kenyataan berhubung perkara itu selepas ini.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Thomas Laman, Sengkuang Ulu, Undop, Batu Lintang Sri Aman kelmarin.

Katanya golongan yang masih ‘buta mata’ ini sudah terpengaruh dengan doktrin politik pihak pembangkang sehingga mereka sanggup menafikan segala usaha pembangunan yang dibawa oleh pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.

“Golongan ini akan bergerak dan menghasut rakyat dengan mengatakan bahawa kerajaan pimpinan parti BN tidak mengambil berat mengenai usaha menaiktaraf kemajuan hidup mereka.

“Mereka sebenarnya sudah melihat perubahan hidup rakyat menerusi usaha pembangunan yang dilaksanakan oleh BN namun ketamakan mereka terhadap kuasa politik menyebabkan mereka sanggup bertindak demikian,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata bahawa pihak pembangkang kini bijak mengambil kesempatan terhadap projek pembangunan kerajaan bagi tujuan publisiti mereka sendiri.

Isu hakisan tanah di Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Luke Sri Aman kata Harden boleh dijadikan sebagai satu contoh tepat untuk mengambarkan niat pihak pembangkang berhubung perkara tersebut.

“Apabila kerajaan sudah meluluskan projek bagi menangani masalah tersebut, pihak pembangkang terus mengambil kesempatan untuk mengambil gambar diri mereka sendiri di lokasi itu bagi tujuan publisiti di surat khabar.

“Mereka mendakwa projek itu dilaksanakan kerana tindakan mereka. Namun sebenarnya projek itu sudah pun dilakukan oleh kerajaan sebelum mereka memaparkan isu terbabit di surat khabar,” katanya.

Justeru Harden menasihatkan rakyat agar tidak mudah terperangkap dengan isu pembangunan yang dimainkan oleh pihak pembangkang di media cetak atau elektronik selepas ini.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Pegawai JASA Parlimen Sri Aman, Whelton Lumpoi, Penolong Jurutera Bahagian JKR Sri Aman, Mohd Nor Ismail, wakil Ketua Polis Daerah Sri Aman, Melay Tingom, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Harden mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 kepada JKKK dan RM3,000 kepada biro wanita rumah panjang tersebut manakala Masir pula mengumumkan peruntukan bernilai RM8,000 untuk rumah panjang berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment