Caption:
1. UNTUK ALBUM... Menteri Muda Kebajikan, Robert Lawson Chuat ketika
merakamkan gambar kenangan bersama Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk
Francis Harden, para tetamu khas dan penerima bantuan sebaik sahaja selesai
Program Sejambak Kasih di Kampung Hilir Sri Aman hari ini.
2. IKHLAS... Menteri Muda Kebajikan, Robert Lawson Chuat ketika
menyampaikan sumbangan kepada penerima sambil disaksikan oleh Menteri Muda
Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden dan para tetamu khas pada Program
Sejambak Kasih di Kampung Hilir Sri Aman hari ini.
SRI AMAN, Khamis (2 Ogos) – Kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Negeri Sarawak telah menyalurkan sebanyak RM60,244,862 kepada 47,097 orang penerima
bantuan bulanan di negeri ini sehingga bulan Jun tahun 2012.
Ia melibatkan skim seperti Bantuan Kanak-Kanak (12,510 kes), Bantuan Orang
Tua (17,272 kes), Elaun Pekerja Cacat (1,940 kes), Bantuan Penjagaan OKU /
Pesakit Kronik Terlantar (1,980 kes), bantuan OKU Tidak Bekerja (2,878 kes) dan
Bantuan Am (10,512 kes).
Menteri Muda Kebajikan, Robert Lawson Chuat berkata demikian ketika berucap
merasmikan Program Sejambak Kasih anjuran JKM Bahagian Sri Aman di Dewan
Serbaguna Kampung Hilir Sri Aman hari ini.
“Kita juga turut memperkenalkan Program Sejambak Kasih untuk meringankan
beban kewangan serta menceriakan penerima bantuan bersempena dengan sambutan
Hari Taya Aidilfitri disamping mempertingkat kualiti hidup keluarga kurang
berkemampuan.
“Untuk itu sejumlah 14,913 oang penerima bantuan di seluruh negeri Sarawak
akan menerima sumbangan menerusi Program Sejambak Kasih dengan 214 orang dari
jumlah itu datang dari Bahagian Sri Aman,” katanya.
Program yang diadakan selari dengan penjenamaan semula perkhidmatan JKM
Negeri Sarawak itu kata Lawson juga turut menyaksikan pengenalan dua jenis Kit
iaitu Hijau dan Kuning untuk penerima bantuan (beserta RM50 seorang) pada tahun
ini.
Golongan penerima lelaki katanya akan menerima Kit Hijau yang mengandungi
Cangkul Kecil, Poly Bag, Cakar Tanah, tiga jenis benih sayur, baja (50 gram),
sudip dan sarung tangan (satu set).
“Wanita pula akan menerima Kit Kuning yang mengandungi Susu Pekat Manis,
Gula Halus, Tepung Gandum, Mentega, Campuran Kismis, Cornflakes, Sekaya dan
Esen Vanila.
“Dua jenis kit ini mengalakkan penerima lelaki (Kit Hijau) untuk
menjimatkan belanja dapur dengan bercucuk tanam dengan penerima wanita (Kit
Kuning) pula digalak untuk membuat serta memasarkan biskut bagi meningkatkan
ekonomi keluarga,” katanya.
Justeru beliau berharap agar usaha JKM Negeri Sarawak ini akan dapat
mengeluarkan golongan kurang bernasib baik dari belenggu kemiskinan menerusi
Productive Welfare di masa akan datang.
Hadir sama ialah Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk
Francis Harden Hollis, Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan, Penolong
Pengarah JKM Bahagian Sri Aman, Sharifah Ranimah Wan Ashim, Pemanca Shamsiah
Haji Maslem dan ketua kaum di sini.
Terdahulu sejumlah 80 orang penerima yang terdiri golongan ibu tunggal,
orang miskin, Warga Emas dan OKU dari kawasan Sri Aman menerima sumbangan
berupa hamper dan RM50 seorang pada program itu.
Tamat.
No comments:
Post a Comment