Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, August 2, 2012

300 bubur lambuk diagih oleh Land Survei Sri Aman



Caption: SERIKAN RAMADHAN...Penguasa JTS Sri Aman, Mohd Razali Arshad menyampaikan bubur lambuk kepada Ketua Zon Selatan Tabung Baitulmal Sarawak iaitu Shamsul Bahri ketika berlangsungnya majlis pengagihan bubur lambuk penduduk di sini kelmarin.

SRI AMAN, Jumaat (27 Julai) – Kawasan perkarangan hadapan bangunan Tabung Haji dan Tabung Baitulmal Sarawak di Bandar Sri Aman telah menjadi tumpuan ratusan penduduk yang mahu mendapatkan bubur lambuk secara percuma petang kelmarin.

Bubur lambuk tersebut telah diagihkan oleh para ahli jawatankuasa Surau Nur Syuhada Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) Bahagian Sri Aman menerusi majlis ringkas yang bermula jam 2.30 petang.

Jurucakap penganjur, Ramli Abu Sera berkata sejumlah 300 bungkusan bubur lambuk telah diagihkan secara percuma setelah gotong-royong menghasilkan makanan popular itu selesai dilakukan pada jam 2 petang.

“Sejumlah 25 orang ahli jawatankuasa Surau Nur Syuhada JTS Sri Aman telah mengambil bahagian dalam gotong-royong menghasilkan bubur terbabit bermula jam 8 pagi.

“Kerja ini merupakan salah satu usaha pihak kami bagi menyerikan lagi sambutan Bulan Ramadhan yang sedang berlangsung di kawasan Sri Aman pada masa sekarang,” menurut beliau.

Pihaknya menurut Ramli juga berharap agar kesemua umat Islam di kawasan Sri Aman selamat menunaikan ibadah puasa masing-masing sementara menanti ketibaan 1 Syawal selepas ini.

Terdahulu Penguasa JTS Bahagian Sri Aman, Mohd Razali Arshad telah diberi penghormatan untuk menyempurnakan simbolik penyampaian bubur lambuk berkenaan terhadap Ketua Zon Selatan Tabung Baitulmal Sarawak iaitu Shamsul Bahri Manap.

Beliau juga turut menyampaikan bubur lambuk ini kepada wakil Tabung Haji Sri Aman sambil disaksikan oleh Timbalan Penguasa JTS Sri Aman, Sulaiman Budin dan ahli jawatankuasa Surau Nur Syuhada iaitu Arip Abong, Wan Nor Azlan serta Ramli Sera.

Tamat.




No comments:

Post a Comment