Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, August 26, 2012

Kebajikan hidup rakyat terus terjaga - Nyalau



Caption: PRIHATIN... Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau sedang menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima ketika berlangsungnya Program Ihya Ramadhan di Kampung Melayu Lubok Antu malam kelmarin.

LUBOK ANTU, Khamis (16 Ogos) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan mengabaikan kebajikan hidup rakyat lebih-lebih ketika menjelang musim perayaan di negeri ini kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak.

BN selaku parti yang dipilih oleh rakyat untuk meneraju hidup mereka di negara ini kata beliau akan sentiasa bergerak bagi memantau dan menyelesaikan masalah kebajikan hidup golongan kurang berkemampuan dari masa ke semasa.

“Itulah peranan utama kerajaan pimpinan BN. Kita tidak akan sesekali leka dengan kuasa yang diberi oleh rakyat pada pilihan raya untuk memerintah negara ini tanpa mengambil tahu masalah kebajikan hidup mereka.

“Kita akan bantu selagi masalah rakyat itu diketahui. Justeru saya berharap agar rakyat yang mempunyai masalah kebajikan tidak segan untuk tampil menemui agensi kerajaan di kawasan masing-masing selepas ini,” katanya.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Ihya Ramadhan anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas Bahagian Sri Aman yang berlangsung di Dewan Masyarakat Kampung Melayu, Lubok Antu lewat petang kelmarin.

Selain itu beliau juga meminta setiap Tuai Rumah atau Ketua Kampung agar sentiasa turun padang bagi memantau masalah kebajikan hidup yang ditanggung oleh rakyat di bawah pimpinan mereka selepas ini.

“Untuk membela kebajikan hidup rakyat, peranan Ketua Kampung atau Rumah Panjang ini adalah amat penting agar kerajaan BN dapat mencari dengan lebih mudah golongan miskin atau kurang upaya yang memerlukan bantuan kita di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu sejumlah 17 orang Warga Emas, 16 orang Kanak-Kanak kurang berkemampuan serta mualaf telah menerima sumbangan perayaan Hari Raya yang disempurnakan oleh Nyalau pada majlis itu.

Nyalau yang turut menghadiri majlis berbuka puasa dengan rakyat Kampung Melayu Lubok Antu turut mengumumkan peruntukan bernilai RM10,000 untuk JKKK, RM3,000 untuk biro wanita dan RM3,000 untuk Kampung Hadrah dari kampung tersebut.

Hadir sama Penyelia JASA Parlimen Lubok Antu, Geoffery Baja Ricky Maba, Pemancha Jaau Jagit, Ketua Kampung Suhaili Pawi, Kaunselor Enteri Balai, Kaunselor Jimbat Bang dan Kapitan Tay Choo Meng.

Tamat.

No comments:

Post a Comment