Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, August 14, 2012

Guru SK Tanjung Bijat tewaskan ular sawa 21 kaki


Caption: TEWAS...Guru SK Tanjung Bijat Sri Aman iaitu Thomas Sumbang Jilom ketika menunjukkan bangkai ular sawa yang sudah dibunuh di Kampung Sungai Semilang di sini awal pagi kelmarin.

SRI AMAN, Rabu (8 Ogos) – Seorang penduduk dari Kampung Sungai Semilang, Sri Aman terkejut apabila menemui seekor ular sawa sepanjang 21 kaki di dalam kandang ayam dan itik di luar kediamannya awal pagi kelmarin.

Penduduk yang bernama Junau itu memberitahu penemuan ular sawa tersebut dibuat sekitar jam 6.45 pagi ketika hendak ke memberi itik dan ayamnya makan di kandang berkenaan.

“Ular sawa terbabit kelihatan terperangkap dan tidak dapat keluar dari kandang tersebut setelah memakan beberapa ekor ayam dan itit yang dipelihara oleh saya di situ selama ini.

“Disebabkan khuatir sekiranya ular sawa tersebut terlepas dari kandang, saya terus bergegas mendapatkan bantuan seorang guru dari sekolah berdekatan untuk membantu bagi mendapatkan reptilia tersebut,” katanya.

Junau meminta bantuan daripada Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bijat iaitu Thomas Sumbang untuk sama-sama membunuh haiwan tersebut sebelum ia berjaya melarikan diri.

“Kami tiada kemahiran untuk menangkap ular sawa tersebut. Justeru jalan paling baik bagi menyelesaikan masalah ini ialah dengan membunuh reptilia berbahaya berkenaan sebelum ia melarikan diri,” kata Thomas.

Memandangkan keluarga Junau mempunyai pantang larang memakan ular sawa maka Thomas mengambil kesempatan itu untuk membawa pulang reptilia terbabit ke rumah panjangnya di Sebangki Panjai, Lubok Antu.

“Ular sawa terbabit sudah cukup besar dan boleh mengancam nyawa manusia jika tidak dibunuh segera memandangkan ia sudah berani menceroboh kawasan penempatan penduduk pada waktu itu,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment