Caption: UNTUK RUJUKAN... Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan (enam
kanan) ketika merakamkan gambar kenangan di sebelah kain rentang SKH sempena
musim perayaan Hari Raya bersama para kakitangan kerajaan pada Program Gerakan
Pengguna di sini hari ini.
SRI AMAN, Selasa (14 Ogos) – Penduduk di kawasan Bandar Sri Aman dinasihat untuk
mengetahui harga runcit bagi barang yang tersenarai Skim Kawalan Harga (SKH) bersempena
dengan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Timbalan Residen (Sosial) Bahagian Sri Aman, Felicia Tan berkata perkara
ini boleh diketahui oleh penduduk dengan merujuk kain rentang SKH yang telah
dipasang di Pasar Tamu, Sri Aman bermula hari ini.
“Kain rentang SKH di Pasar Tamu Sri Aman ini membolehkan para pengguna dan
peniaga mengetahui harga runcit maksimun bagi setiap barangan yang disenarai
dalam SKH tersebut.
“Justeru kami meminta pengguna berbelanja dengan bijak dan berkhemah bersempena
dengan musim perayaan kali ini begitu juga dengan para peniaga agar sentiasa
mematuhi peraturan yang termaktub di dalam SKH tersebut,” katanya.
Beliau selaku mewakili Pengerusi Gerakan Pengguna Bahagian Sri Aman berkata
demikian ketika Utusan Sarawak ketika berlangsungnya Program Gerakan Pengguna
Bahagian Sri Aman yang bermula pada jam 9.30 pagi hari ini di Pasar Tamu, Sri
Aman.
Selain itu Felicia juga meminta para pengguna untuk melaporkan dengan segera
kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (PPDNKK)
sekiranya terdapat peniaga yang melanggar SKH tersebut selepas ini.
Turut sama menyertai program ini ialah Pegawai Tadbir Sosial Pejabat Daerah
Sri Aman, Zaidi Sarkawi, lima orang kakitangan PPDNKK cawangan Sri Aman, empat
orang kakitangan Pejabat Kesihatan Sri Aman dan seorang kakitangan Majlis
Daerah Sri Aman.
Terdahulu SKH kali ini menyenaraikan sejumlah 19 barangan kawalan antaranya
ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu import, daging kerbau
tempatan, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, kubis bulat
import, cili merah, tomato, kelapa biji, kelapa parut, kacang tanah import,
bawah merah kecil, bawang merah besar, bawang putih, ubi kentang import dan
ikan kembung.
Kegagalan peniaga mematuhi Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 akan
menyebabkan mereka didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi
tiga tahun atau kedua-duanya dikompaun hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama
bagi Perseorangan.
Kesalahan kedua atau berikutnya pula terhadap aktta berkenaan akan
menyebabkan mereka didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi
25 tahun atau kedua-dua sekali.
Manakala itu bagi Syarikat, kesalahan pertama akan menyebabkan mereka
didenda tidak melebihi RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000 manakala
kesalahan kedua atau berikutnya membolehkan mereka didenda tidak melebihi RM1
juta.
Tamat.
No comments:
Post a Comment