Caption: MASIH MERIAH...Eric Banyeng (kanan) ketika melayan kedatangan para
tetamu dari Kampung Kesindu, Simunjan pada perayaan Hari Raya di Sibau Rimbau
kelmarin.
SIMUNJAN, Selasa (21 Ogos) – Penduduk Rumah Sebli, Sibau Rimbau, Simunjan nyata masih
memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri walaupun perayaan tersebut sudah
masuk pada hari yang kedua kelmarin.
Pemberita yang berpeluang untuk mengadakan kunjungan perayaan Hari Raya
Aidilfitri di perkampungan majoriti penduduk Iban muslim itu mendapati bahawa
hidangan juadah kali ini tampak berbeza berbanding tahun lepas.
Selain hidangan nasi himpit dan ketupat rendang, terdapat penduduk di
Kampung Sibau Rimbau telah menghidangkan masakan Kari Rusa untuk dinikmati oleh
pengunjung yang datang ke kediaman mereka bermula 20 Ogos lepas.
“Perayaan Hari Raya dianggap cukup istimewa untuk keluarga kami. Justeru
Kari Rusa adalah salah satu juadah menarik untuk kami sajikan kepada ahli
keluarga dan sahabat-handai di perayaan yang penuh mulia ini,” kata Eric
Banyeng.
Beliau dan isteri berpendapat bahawa suasana sambutan perayaan Hari Raya
tetap meriah di kalangan penduduk Iban beragama Islam di Kampung Sibau Rimbau
pada setiap tahun.
“Suasana sambutan perayaan Hari Raya di sini tidak berbeza dengan suasana perayaan Hari Raya di perkampungan Melayu dalam negeri ini dengan adanya aktiviti bermain bunga api, gotong-royong membuat lemang dan sebagainya.
“Sebagai seorang penduduk Iban yang beragama Islam, saya dan ahli keluarga berasa amat bangga kerana dapat bersama penduduk Islam di negeri ini untuk memeriahkan suasana sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri pada setiap tahun,” katanya.
Manakala itu Mohd Saiful, 45, pula merasa amat gembira kerana sempat memeriahkan suasana perayaan Hari Raya pada tahun ini bersama anak-anak dan isteri setelah sekian lama bekerja di perantauan orang.
Menurut beliau adalah tidak mudah bagi penduduk Iban yang bekerja di syarikat perkapalan luar negara untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut perayaan penting bersama keluarga.
“Saya berasa amat bersyukur kerana dapat pulang ke kampung (Sibau Rimbau) untuk memeriahkan suasana sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga setelah tiga bulan berada di perantauan untuk mencari rezeki.
“Menerusi perayaan Hari Raya Aidilfitri inilah saya berkesempatan untuk beramah mesra dengan anak-anak dan isteri disamping sahabat handai yang lain sebelum dipanggil semula untuk bekerja di luar negara,” katanya.
Tinjauan rambang juga mendapati bahawa terdapat beberapa buah perkampungan Iban di kawasan Batang Hulu Simunjan yang turut memeriahkan suasana sambutan perayaan raya ini termasuk Kampung Ruan dan Samalatong.
Tamat.
No comments:
Post a Comment