Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, August 2, 2012

Kempen SWP di Pasar Lachau dicemari insiden pergaduhan



PANTU, Isnin (30 Julai) – Kempen Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang berlangsung di Pekan Lachau, Pantu pada malam hari Jumaat lepas telah nyaris dicemari dengan insiden pergaduhan antara ahli politik dan rakyat tempatan di situ.

Sebelum berlakunya kejadian, kempen politik parti berkenaan kata sumber telah dimulai dengan persembahan konsert oleh beberapa orang artis rakaman Iban tempatan di atas pentas yang dibina di situ pada jam 6.30 petang.

Walaupun barisan artis rakaman Iban yang menyanyi pada malam itu langsung tidak sama seperti yang dimaklumkan pada poster hebahan sebelum ini namun ia nyata menarik kedatangan ramai orang pada lewat petang hari tersebut.

“Sebaik sahaja selesai persembahan konsert terbabit, beberapa orang pemimpin SWP telah memulakan sesi ceramah kepada rakyat walaupun ramai di antara mereka mula pulang pada waktu itu.

“Segala-galanya berjalan dengan lancar dan aman sebelum bekas Ahli Parlimen Lubok Antu iaitu Jawah Gerang mula menyampaikan ceramahnya kepada rakyat yang hadir pada konsert berkenaan,” kata sumber.

Beliau menerusi sesi ceramah itu bertindak menyerang peribadi Ahli Parlimen Sri Aman iaitu Masir Kujat sambil menayangkan kenyataan berunsur fitnah dari sebuah naskah akhbar buletin berbahasa Iban mengenai wakil rakyat terbabit terhadap rakyat di situ.

Tindakan Jawah itu telah menyebabkan sebilangan rakyat memendam rasa sehinggalah kemarahan mereka terlepas apabila Jawah kembali mengulangi tuduhan beliau terhadap Masir buat kali kedua.

“Seorang peniaga cuba naik ke pentas untuk menegur tindakan Jawah itu secara keras namun berjaya dihalang oleh beberapa orang individu demi mengelakkan keadaan lebih buruk berlaku.

“Kemarahan terbabit tercetus kerana rakyat di kawasan Lachau sebahagian besarnya mempunyai hubungan tali persaudaraan dengan Masir iaitu wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mereka pada masa sekarang,” katanya.

Insiden ini telah menyebabkan Jawah serta-merta menghentikan tindakan mengutuk Masir dan meneruskan kempen beliau dengan intipati ceramah politik yang biasa pada malam itu.

“Tidak sampai 10 minit kemudian kesemua barisan pemimpin SWP ini berangkat pulang. Tuah nampaknya tidak menyebelahi barisan pemimpin SWP memandangkan rakyat di Lachau adalah penyokong kuat kepada Masir Kujat,” kata sumber.

Tamat.


No comments:

Post a Comment