Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Sunday, August 26, 2012

Masir tuntut Buletin Kenyalang kemuka permohonan maaf


Mugshot: MASIR KUJAT...Menuntut pihak Buletin Kenyalang memohon maaf terhadap beliau hingga 25 Ogos ini berhubung laporan palsu terhadap beliau menerusi akhbar itu.

SRI AMAN, Rabu (22 Ogos) – Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat telah mengemukakan surat tuntutan permohonan maaf kepada pihak Buletin Kenyalang berhubung laporan berunsur fitnah yang telah dilemparkan terhadap beliau oleh akhbar itu sebelum  ini.

Perkara berhubung surat tuntutan permohonan maaf terbabit telah diumumkan oleh beliau sendiri kepada pihak media menerusi kiriman teks Sistem Pesanan Ringkas atau SMS pada hari ini.

“Surat tuntutan permohonan maaf berhubung perkara terbabit telah dikemukakan penasihat undang-undang saya kepada pihak akhbar Buletin Kenyalang dan editornya pada 14 April lepas.

“Kita jangka bahawa pihak buletin tersebut akan menerima surat terbabit pada hari ini (22 Ogos) dan perlu menjawabnya dalam tempoh tiga hari bermula dari tempoh itu hingga ia berakhir pada 25 Ogos kelak,” katanya.

Masir ketika dihubungi media untuk mengulas lanjut mengenai perkara itu berkata pihak beliau akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya pihak Buletin Kenyalang gagal memenuhi tuntutan surat berkenaan selepas 25 Ogos ini.

“Dua isu akhbar Buletin Kenyalang sebelum ini telah memuatkan isu berunsur fitnah yang bertujuan mahu menjatuhkan kedudukan saya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

“Saya masih lagi belum merujuk isu terbaru buletin tersebut pada masa sekarang. Justeru rakyat di kawasan Parlimen Sri Aman perlu sedar bahawa saya tidak akan berdiam diri terhadap fitnah yang dilemparkan oleh buletin itu terhadap saya selama ini,” tegasnya.

Terdahulu Buletin Kenyalang adalah merupakan sebuah akhbar tabloib berbahasa Iban yang dipercayai mempunyai perkaitan dengan seorang ahli perniagaan di dalam negeri ini.

Selain memaparkan isu semasa mengenai artis rakaman Iban tempatan, Buletin Kenyalang juga pernah memuatkan isu mengenai Masir dan pembantunya Abah Unggie menerusi dua edisi akhbar tersebut sebelum ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment