Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Thursday, August 2, 2012

Isu hakisan tanah Saint Luke: Dakwaan Leon Jimat tak berasas - Harden


Mugshot: DATUK FRANCIS HARDEN HOLLIS

SRI AMAN, Khamis (26 Julai) – Kerajaan sememangnya sudah mengambil langkah untuk menghalang proses hakisan tanah yang berlaku sepanjang laluan berbukit di Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Luke sebelum ini.

Ia sekaligus menepis dakwaan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sri Aman, Leon Jimat Donald yang mendakwa bahawa kerajaan mengabaikan masalah itu seperti yang dilapor dalam sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris pada 15 Julai lepas.

“Sebenarnya Leon telah mengetahui masalah berkenaan apabila tender untuk membaikpulih masalah hakisan tanah di SK Saint Luke mula dibuka kepada pihak kontraktor.

“Ia sekaligus membuktikan bahawa cadangan untuk mengatasi masalah berkenaan sudah dilakukan oleh pihak JKR sebelum itu,” kata Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis.

Beliau ketika dihubungi Utusan Sarawak juga memberitahu bahawa Leon sengaja mengambil kesempatan di atas projek kerajaan Barisan Nasional (BN) tersebut untuk meningkatkan populariti beliau menerusi media massa negeri ini.

Dengan melemparkan dakwaan seperti itu maka rakyat di kawasan Sri Aman kata Harden akan mempercayai laporan akhbar yang seolah-olah menggambarkan bahawa kerajaan kurang bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah berkenaan.

“Kos membaikpulih hakisan tanah di SK Saint Luke akan menelan belanja sebanyak RM800,000 dengan kerja perlaksanaannya nanti dijangka akan bermula dalam masa terdekat ini,” menurut beliau.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai dakwaan sesetengah pihak tanpa menyiasat perkara tersebut terlebih dahulu selepas ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment