Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, August 14, 2012

Projek hospital baru dan naiktaraf loji air di Sri Aman sudah bermula - Harden


Caption: UNTUK RAKYAT...Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar, Datuk Francis Harden dan Setiausaha MDSA, Nelson Mujah ketika bersama para Ketua Kaum meninjau tapak parkir baharu di hadapan bangunan Pasaraya Everise Sri Aman petang kelmarin.

SRI AMAN, Selasa (14 Ogos) – Dua buah projek pembangunan yang dijanjikan untuk rakyat di kawasan Sri Aman kini sudah pun mula dilaksanakan oleh kerajaan semenjak tiga minggu lepas.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata dua projek berkenaan ialah naiktaraf Loji Perawatan Air Empango di Bayai dan Hospital Bahagian Sri Aman yang baharu.

“Kerja meratakan tapak Hospital Bahagian Sri Aman bagi peringkat Fasa I sudah pun bermula semenjak 30 Julai lepas dan dijangka selesai pada hujung tahun ini dengan kos perlaksanaannya menelan belanja sebanyak RM10 juta.

“Manakala itu kerja menaiktaraf Loji Perawatan Air Empango dari 13.5 MLD ke 20 MLD pula sudah bermula semenjak 25 Julai lepas dengan kos perlaksanaan berjumlah RM42 juta. Projek ini dijangka siap pada tahun 2014,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian kepada pemberita ketika melawat tapak parkir baharu di hadapan bangunan Everise, Sri Aman lewat petang kelmarin.

Sementara itu cadangan pembinaan tempat parkir bertingkat sebelum ini kata Harden terpaksa dibatalkan memandangkan jumlah parkir yang sedia ada dalam Bandar Sri Aman sudah pun mencukupi.

“Cadangan terbabit terpaksa dibatalkan memandangkan Bandar Baharu Sri Aman sudah menyediakan sejumlah tempat parkir yang mencukupi untuk semua pengguna kenderaan di sini pada masa sekarang,” katanya.

Terdahulu Harden sambil ditemani oleh Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) iaitu Nelson Mujah Girie telah melawat tapak parkir baharu bernilai RM200,000 yang boleh memuatkan sejumlah 36 buah kenderaan di hadapan bangunan Pasaraya Everise.

Beliau juga turut meninjau rangkaian sistem perparitan baharu bernilai RM200,000 yang siap dibina bersebelahan dengan tempat parkir terbabit sebelum berangkat pulang pada jam 5 petang.

Turut menyertai sesi lawatan ringkas Harden ke lokasi berkenaan ialah Temenggung Sii Toh Peng, Penghulu Lee Siang Hua, Kapitan Kuek Aik Seng, Kapitan Tiong Chung Onn dan Kanselor Saweng Sumar.

Tamat.






No comments:

Post a Comment