Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, March 7, 2012

Pendidikan aset anak - Harden


Caption: TERIMA KASIH...Datuk Harden (kiri) menerima cenderamata daripada Berayan (kanan) sambil disaksikan oleh Tr Romeneo (dua kanan) pada majlis itu kelmarin.

SRI AMAN, Selasa (6 Mac)  – Pendidikan adalah aset penting bagi diri anak-anak yang bakal menempuh arus kemajuan negara di masa akan datang kata Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis.

Tanpa aset tersebut katanya adalah amat sukar bagi anak-anak untuk menjadi barisan modal insan berkualiti tinggi yang bakal menyumbang kepada taraf ekonomi dan sosial negara selepas ini.

“Atas sebab ini kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi memastikan kemudahan sekolah di seluruh negara dipertingkat ke arah kualiti yang lebih baik demi murid-murid.

“Justeru saya berharap agar para guru memastikan agar setiap kemudahan yang sudah dinaiktaraf itu dimanfaatkan oleh semua murid dengan sebaik mungkin demi menjayakan matlamat pembangunan kerajaan,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Skrang di sebuah restoran dalam bandar ini kelmarin.

Selain itu beliau juga menasihatkan semua ibubapa untuk memainkan peranan sebagai guru di rumah demi memastikan disiplin pembelajaran anak-anak terus dikekalkan dari masa ke semasa.

“Jika ibubapa serius berbuat demikian maka saya percaya anak-anak akan dapat menjadi modal insan kelas pertama yang berkualiti untuk bersaing dalam arus kemajuan negara pada masa hadapan,” katanya.

Hadir sama ialah Guru Besar SK Nanga Skrang, Francis Berayan Rengkang, Yang Dipertua PIBG SK Nanga Skrang, Tuai Rumah Romeneo Tugang, para guru dan ahli PIBG sekolah terbabit.

Majlis yang diserikan dengan acara lagu tajaan, suara emas dan cabutan tiket bertuah itu menyaksikan Harden telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada PIBG SK Nanga Skrang bernilai RM10,000.

Tamat.

No comments:

Post a Comment