Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Friday, March 2, 2012

Tugas Ketua Kaum mencabar - Harden



Caption: TAHNIAH...Johnathan menyerahkan surat lantikan kepada Pemanca Lapok sambil disaksikan oleh (dari kiri) Felicia, Harden, Rayong, Jack dan Penghulu Lee Siang Hua pada majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (2 Mac) – Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum perlu menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Kerajaan Negeri kepada mereka dari masa ke semasa.

Dengan kata lain Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata golongan terbabit menggalas tanggungjawab yang amat mencabar untuk rakyat di kawasan mereka.

“Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum dianggap sebagai aset kerajaan. Mereka berfungsi sebagai ejen kerajaan untuk menyebarkan pelbagai dasar pembangunan untuk rakyat di kawasan masing-masing.

“Jika Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum melaksanakan tugas mereka dengan baik maka saya yakin bahawa usaha pembangunan akan dapat dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) secara lancar di kawasan rakyat selepas ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Lantikan dan Lanjutan Jawatan Ketua Masyarakat Dan Ketua Kaum Sri Aman di Pejabat Residen Sri Aman hari ini.

Selain itu para Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum kata Harden juga perlu kerap turun padang dan menemui rakyat untuk meninjau masalah rakyat dalam kawasan masing-masing.

Menerusi tinjaun terbabit, masalah rakyat tersebut kata beliau kemudiannya perlu dikemukakan kepada wakil rakyat atau jabatan kerajaan untuk tindakan susulan selepas itu.

“Ingin saya ingatkan di sini bahawa Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum juga dianggap sebagai kakitangan kerajaan. Justeru saya berharap mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik demi mengangkat imej kerajaan di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat dan Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan Yan Hua.

Terdahulu sejumlah 5 orang Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum dilantik mengikut jawatan masing-masing dengan seorang lagi Ketua Kaum dilanjutkan tempoh perkhidmatannya kali ini.

Mereka yang dilantik adalah Pemanca Chua Kee Long @ Lapok, Penghulu Michael John Sanggop, Kapitan Hii Ngiik Chuang, Tuai Rumah Reggie Beria dan Tuai Rumah Giut Meramat manakala yang dilanjut tempoh ialah Kapitan Tiong Chong Onn.

Tamat.



No comments:

Post a Comment