Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Friday, March 9, 2012

Generasi muda diseru perkukuhkan keunikan Malaysia - Rohani


Caption: UNTUK ALBUM...Rohahi (tengah) ketika merakamkan gambar kenangan bersama pemenang Qari dan Qariah serta tetamu khas yang lain ketika berlangsungnya majlis Tilawah Al – Quran di sini malam tadi.

SRI AMAN, Jumaat (9 Mac)  – Malaysia merupakan sebuah negara unik dan menjadi perhatian kebanyakkan negara dunia pada masa sekarang kata Timbalan Menteri Perdagangan, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim.

Katanya Malaysia menjadi tumpuan dunia apabila perpaduan kukuh antara penduduk berbilang kaum dan agama menjadi tunjang utama kekuatan negara ini sehingga masa sekarang.

“Banyak negara tidak yakin bahawa Malaysia akan mampu bertahan hanya disebabkan oleh kewujudan penduduk berbilang kaum dan berlainan agama semenjak negara kita merdeka.

“Atas sebab ini Malaysia menjadi negara contoh dikalangan lain-lain negara berhubung langkah untuk mewujudkan semangat perpaduan di antara penduduk berbilang kaum dan agama dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau demikian ketika berucap menutup Majlis Tilawah Al-Quran Dan Pertandingan Nasyid Peringkat Bahagian Sri Aman di Masjid Darul Syarikin, Kampung Muhibah, Sri Aman malam tadi.

Selain itu perlaksanaan Gagasan 1 Malaysia kata Rohani juga nyata menepati kehendak umat Islam dalam mewujudkan keharmonian dikalangan penduduk berlainan agama di negara ini.

“Namun begitu perkahwinan campur antara penduduk berbilang kaum dan agama di Sarawak sememangnya sudah lama diamalkan oleh penduduk di sini sebelum konsep Gagasan 1 Malaysia diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Justeru saya menyeru golongan generasi muda untuk mempertahankan keunikkan negara kita khasnya Sarawak dengan mengekalkan hubungan perpaduan sedia ada selepas ini,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh, Penguasa Jabatan Tanah Dan Survei Bahagian Sri Aman, Razalie Arshad, Temenggong Haji Bohari Haji Zen, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Terdahulu sejumlah 17 orang peserta menyertai Pertandingan Tilawah Al-Quran, enam orang peserta mengambil bahagian dalam Pertandingan Lagu Dakwah dan dua buah kumpulan mengambil bahagian dalam Pertandingan Nasyid bersempena majlis itu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment