Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, March 7, 2012

Pihak pembangkang amal politik buah engkabang - Rayong


Caption: SELAMAT DATANG...Nyalau (tengah) bersama Rayong (kanan) ketika tiba pada majlis pemimpin bersama rakyat di Rumah Minggat, Skrang, kelmarin.

ENGKILILI, Isnin (5Mac) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa menyelar parti pembangkang atau calon bebas yang berminat bertanding pada pilihan raya umum akan datang sebagai politik ‘Buah Engkabang’.

Maksud terbabit jelas beliau boleh diertikan apabila terdapat ramai pihak yang datang bagi mengutip buah tersebut untuk dijual bagi mengaut keuntungan masing-masing ketika menjelang musim buah berkenaan.

“Mereka ini akan hilang sebaik sahaja tamat musim buah tersebut. Keadaan ini sama seperti musim pilihan raya apabila pihak pembangkang dan calon bebas cuba meraih sokongan politik daripada rakyat.

“Bagaimanapun mereka ini hilang begitu sahaja sebaik sahaja tamat musim pilihan raya. Justeru atas sebab ini saya menyelar hasrat mereka sebagai politik Buah Engkabang,” katanya.

Rayong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Minggat, Munjan Skrang, Engkilili anjuran Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang itu kelmarin.

Beliau menerusi majlis berkenaan juga turut menasihatkan penduduk rumah panjang agar tidak mudah terpengaruh dengan janji yang diluahkan oleh pihak yang mengamalkan gaya politik seperti itu pada musim pilihan raya ini.

“Alangkah lebih bermakna sekiranya penduduk rumah panjang meneruskan sokongan mereka terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dapat menunaikan segala harapan kemajuan mereka di masa akan datang,” katanya.

Rayong menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada JKKK Rumah Minggat dan RM3,000 untuk biro wanita rumah panjang tersebut.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak sambil dihadiri oleh Jurutera Bahagian, Jabatan Kerja raya (JKR) Sri Aman, Cassidy Morris dan Pegawai JASA Parlimen Lubok Antu, Geoffry Baja Ricky Maba.

Tamat.

No comments:

Post a Comment