Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Friday, March 9, 2012

Azizul juara Qari Tilawah Al Quran peringkat Bahagian Sri Aman


Caption: TAHNIAH...Rohani menyampaikan hadiah kepada juara Qariah Tilawah Al –Quran iaitu Norazah sambil disaksikan oleh tetamu khas yang lain malam tadi.

SRI AMAN, Jumaat (9 Mac) – Tuah menyebelahi Mas Azizul Haji Suhaili apabila dinobatkan sebagai johan Kategori Qari bagi Pertandingan Tilawah Al-Quran yang berlangsung di Masjid Darul Syakirin, Kampung Muhibah, Sri Aman malam tadi.

Azizul muncul sebagai johan setelah berjaya menewaskan saingan daripada lima orang peserta Qari yang lain semenjak bermulanya pertandingan tersebut di situ pada 7 Mac lepas.

Manakala itu Haji Salleh Taha pula telah muncul sebagai naib johan bagi Kategori Qari Pertandingan Tilawah Al-Quran ini dengan Abang Razali Abang Ramli muncul pemenang tempat ketiga bagi kategori itu.

Kategori Qariah pula menyaksikan Norazah Rajanah Abdullah dinobatkan sebagai johan dengan Rabiah Kimcong dan Kuraisah Bibi Haji Abdul Aziz muncul pemenang naib johan dan pemenang tempat ketiga bagi kategori itu.

Sementara itu Kumpulan As’sobirin menerusi lagu berjudul Sujud Ku muncul johan Pertandingan Nasyid dengan menewaskan saingannya iaitu Kumpulan Zafran yang membawa lagu berjudul Berserah bagi pertandingan itu.

Pertandingan Lagu Dakwah pula menyaksikan Zul Azhar Ismail muncul johan dengan Nurzawani Iriani Sarafuddin dan Mohd Amizan Syafiq Azami muncul sebagai naib johan dan pemenang tempat ketiga bagi pertandingan itu.

Kesemua hadiah berupa wang tunai dan sijil penyertaan kepada para pemenang telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Ismawie Salleh, Penguasa Jabatan Tanah Dan Survei Bahagian Sri Aman, Razalie Arshad, Temenggong Haji Bohari Haji Zen, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Terdahulu sejumlah 17 orang peserta menyertai Pertandingan Tilawah Al-Quran, enam orang peserta mengambil bahagian dalam Pertandingan Lagu Dakwah dan dua buah kumpulan mengambil bahagian dalam Pertandingan Nasyid bersempena majlis itu.

Tamat.

No comments:

Post a Comment