Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Saturday, March 24, 2012

Bekas tentera dari Pantu perlu bantuan








Caption:

1. PERLU BANTUAN...Chama bersama isteri ketika di hadapan pondok usangnya di Pantu.

2. DEMI SESUAP NASI...Januri sedang menjemur buku getah sambil ditemani suaminya iaitu Chama.

3. UNTUK SIMPANAN...Gambar menunjukkan barisan botol plastik yang mengandungi air bersih dari kemudahan air paip rumah panjang untuk kegunaan Chama dan isterinya.

4. SIBUK...Kawasan anjung pondok usang milik Chama dan isterinya menjadi lokasi untuk membasuh pinggan mangkuk selama ini.

5. USANG...Chama dan isterinya menunjukkan dapur usang untuk memasak makanan dan air bersih ketika ditemui Utusan Sarawak.

6. INI YANG KAMI ADA...Chama dan isterinya ketika menunjukkan lokasi tempat tidur mereka yang tampak usang dan menyedihkan.

7. MENYEDIHKAN...Gambar menunjukkan pondok usang yang didiami oleh Chamar dan isterinya semenjak berhenti dari perkhidmatan tentera kira-kira 31 tahun lepas.

PANTU, Isnin (19 Mac) – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah masalah kesempitan hidup yang melanda sebuah keluarga miskin tegar dari Rumah Lanyau, dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman.

Chama anak Manchu, 68, seorang bekas anggota 1 Renjer, Angkatan Tentera Darat Malaysia hidup dalam kemiskinan bersama isterinya iaitu Januri anak Samat, 60, di sebuah pondok usang bersebelahan rumah panjang Lanyau semenjak 30 tahun lepas.

Kedua-dua Warga Emas yang hanya dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Rayong Chama, 31, itu hidup dalam serba kekurangan tanpa adanya bekalan elektrik 24 jam dan juga bekalan air bersih.

“Saya bersama isteri hanya mampu meraih pendapatan antara RM300 hingga RM350 sebulan dengan memotong getah dan berkebun,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di kediamannya kelmarin.

Anaknya iaitu Rayong sudah pun berumah-tangga dan hanya mampu mengirim beras dan beberapa makanan tambahan memandangkan beliau hanya bekerja sebagai seorang mekanik.

Jika bernasib baik, Chama akan mengambil upah dengan bekerja untuk penduduk di rumah panjang berdekatan demi menampung kos keperluan hidup dirinya dan isteri iaitu Januri.

Lagipun kedaifan hidup Warga Emas terbabit nyata mampu digambarkan dengan keadaan dapur dan ruang bilik tidur yang kotor, apatah lagi tiada sebarang peralatan elektronik seperti radio dan televisyen untuk berhibur selama ini.

Jika sudah berpenat-lelah pulang dari kebun sekitar jam 3 petang, Chama akan berkunjung ke rumah saudaranya di rumah panjang berdekatan untuk menonton televisyen sebelum pulang ke pondok pada waktu malam.

“Kami berdua mandi dan membasuh pakaian dari air telaga berdekatan. Kami tiada kemudahan air paip dan ia memaksa kami berdua untuk mengambil air minum dari bekalan air paip rumah panjang,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa isterinya pernah ditemubual menerusi program e-kasih pada awal tahun lepas namun belum mendapat sebarang maklumbalas berhubung sebarang bantuan hingga masa sekarang.

Justeru kedua-dua Warga Emas terbabit mengimpikan bantuan kebajikan bulanan dan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) daripada kerajaan untuk keselesaan hidup mereka selepas ini.

“Saya juga merayu pihak kerajaan agar membantu menyelesaikan masalah permohonan kad pengenalan milik saya yang sudah lama tertangguh semenjak 4 November 2010 lepas,” katanya.

Terdahulu, Chama telah menyertai Angkatan Tentera Darat Malaysia bermula 23 Jun 1964 dan pernah mengalami kecederaan akibat tembakan penganas komunis di kawasan Sarikei pada tahun 1972 sebelum tamat perkhidmatan pada 22 Jun 1980.

Tamat.







No comments:

Post a Comment