Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Saturday, March 24, 2012

BN ada pelan pembangunan tersendiri - NYalau


Caption: TERIMALAH...Nyalau menyerahkan cek kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Rayong ketika berlangsungnya majlis itu kelmarin.

ENGKILILI, Rabu (21 Mac) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai pelan rancangan pembangunan tersendiri untuk rakyat dan bukannya seperti yang dijanjikan oleh pihak pembangkang menerusi Buku Jingga mereka.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak berkata Buku Jingga sebenarnya tidak lebih dari sekadar janji pihak pembangkang terhadap rakyat yang kebiasaannya tidak akan ditunaikan kepada mereka pada bila-bila masa.

“Ia berbeza berbanding dengan pihak Kerajaan BN yang mempunyai pelan rancangan pembangunan bagi tempoh lima dan 10 tahun seperti Rancangan Malaysia terhadap rakyat di seluruh negara ini khasnya sekali negeri Sarawak.

“Strategi inilah yang menyebabkan negara kita lebih cepat maju berbanding dengan negara yang sudah dahulu menikmati kemerdekaan,” katanya berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Kujat, Ijok Ulu, Batang Ai Ili, Engkilili kelmarin.

Selain itu pihak pembangkang kata Nyalau tidak akan dapat menunaikan janji yang terkandung dalam Buku Jingga untuk rakyat memandangkan mereka tidak mempunyai sebarang keupayaan untuk menunaikan janji terbabit.

Lagipun Buku Jingga menurut beliau cumalah helah politik daripada pihak tersebut untuk menarik sokongan rakyat terhadap mereka lebih-lebih lagi ketika menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Justeru saya menasihatkan rakyat khasnya di kawasan Parlimen Lubok Antu untuk meneruskan sokongan padu terhadap BN pada pilihan raya umum akan datang demi hala tuju pembangunan hidup mereka selepas itu,” katanya.

Terdahulu majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas Bahagian Sri Aman itu menyaksikan Nyalau menyerahkan geran kerajaan yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM195,000 kepada 15 buah rumah panjang di situ.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pegawai JASA Parlimen Lubok Antu, Geoffery Baja Ricky Maba, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment