Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, March 12, 2012

Masih ada ibubapa OKU di luar bandar belum daftar dengan jabatan kebajikan - Mong


Caption: IKHLAS...Masir sedang menyerahkan kerusi roda kepada seorang wakil penerima sambil disaksikan oleh tetamu khas yang lain ketika berlangsungnya majlis itu hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (10 Mac)  – Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat yakin bahawa masih terdapat ibubapa kepada anak Orang Kelainan Upaya (OKU) di kawasan luar bandar yang belum berdaftar dengan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti atau PDK pada masa sekarang.

Justeru beliau meminta PDK dan jabatan kerajaan di Sri Aman yang berkait-rapat dengan hal ehwal pembelaan kebajikan OKU agar lebih kerap turun padang untuk membantu mendaftar golongan tersebut selepas ini.

“Majoriti ibubapa kepada OKU di kawasan luar bandar masih belum mengetahui tentang bantuan yang kerajaan Barisan Nasional (BN) tawarkan bagi membantu kebajikan hidup golongan terbabit sebelum ini.

“Jika mereka ini dapat didaftar menerusi bantuan PDK dan jabatan kerajaan yang berkaitan maka kerajaan BN akan dapat menyalurkan bantuan kepada golongan tersebut dari masa ke semasa,” katanya.

Masir berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat bertemakan Pemimpin Prihatin Komuniti Penyayang yang berlangsung di PDK Sri Aman hari ini.

Selain itu beliau juga berharap agar ibubapa tidak berasa malu untuk mendaftarkan anak-anak OKU masing di PDK, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi tujuan tersebut mulai sekarang.

“Apa yang kita mahukan ialah golongan OKU dapat mencapai kemajuan hidup dalam diri masing-masing sama ada dari segi pencapaian akademik (sekolah khas), ekonomi dan sosial di masa akan datang,” jelas beliau.

Hadir sama ialah Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Fachrio Ferdiand Shah, Penolong Pengarah JKM Bahagian Sri Aman, Sharifah Ranimah Wan Ashim, Pengerusi PDK Sri Aman, Rohani Sahari dan Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Sarawak, Jatan Kidu. 

Majlis anjuran Jabatan Penerangan Daerah Sri Aman, Komuniti 1 Malaysia Kampung Selanjan dan Komuniti 1 Malaysia Kampung Pakit Sri Aman ini menyaksikan Masir mengumum peruntukan bernilai RM10,000 untuk menaiktaraf PDK Sri Aman.

Turut diadakan pada majlis itu ialah upacara penyampaian Touching Point, kerusi roda, hadiah pertandingan dan sesi bergambar beramai-ramai bersama tetamu khas dan penerima bantuan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment