Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Friday, March 2, 2012

Pesta Benak Sri Aman 2012 kembali! 6 hingg 8 April



Caption: UMUM...Harden (tengah) sambil diapit oleh (dari kiri) Felicia, Johnathan, Rayong dan Jack ketika berlangsungnya sidang media berhubung penganjuran Pesta Benak Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (2 Mac) – Acara tahunan kelima terbaik dalam Sarawak iaitu Pesta Benak Sri Aman kembali menemui peminat dari dalam dan luar negara apabila ia bakal dianjurkan bermula dari 6 hingga 8 April ini.

Residen Bahagian Sri Aman, Johnathan Lugoh ketika bercakap pada sidang media di Pejabat Residen Sri Aman memberitahu tarikh tersebut dipilih memandangkan air pasang atau Benak bakal mencapai paras tertinggi bagi sepanjang tahun ini pada waktu itu.

“Beberapa kategori aktiviti utama bakal diadakan sempena Pesta Benak ini antaranya Regatta Benak Batang Lupar, Meluncur Benak Batang Lupar, Bazaar Ria Benak, Budaya Ria Benak, Perasmian Pesta Benak, Pameran Benak dan Karnival Permotoran.

“Antara acara menarik yang terkandung dalam kategori itu adalah lumba perahu, lumba jet ski, malam kesenian dan kebudayaan, Miss Tourism Benak, Benak Idol, Pertunjukkan Bunga Api, Pertandingan Bertanda dan banyak lagi,” katanya.

Dengan lumba jet ski menjadi acara terbaru dalam sambutan Pesta Benak kali ini, pihak nya akan menjemput empat orang peluncur ombak dari Perancis, satu dari United Kingdom dan empat dari Semenanjung Malaysia bagi meluncur benak semasa pesta itu.

“Objektif utama ialah untuk menonjolkkan Benak Batang Lupar sebagai Produk Pelancongan Unik Sarawak dan Malaysia disamping menganjak kendudukan Pesta Benak Sri Aman dalam senarai 10 acara terbaik di Sarawak,” katanya.

Pesta Benak Sri Aman 2012 ini nanti kata Johnathan akan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud pada 7 April bermula jam 3 petang di Astaka Reggata Batang Lupar.

Sementara itu Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis ketika mempengerusikan sidang media itu memberitahu bahawa pihaknya mensasarkan kedatangan lebih daripada 50,000 orang pengunjung bagi sambutan Pesta Benak ini.

“Lagipun saya meminta kerjasama daripada ketua kaum di Sri Aman agar bekerjasama dengan ahli jawatankuasa sambutan Pesta Benak untuk menjayakan Pertandingan Local Food sempena pesta itu nanti.

“Justeru diharap agar acara-acara menarik yang terkandung dalam sambutan Pesta Benak kali ini akan dapat menarik kedatangan lebih ramai pengunjung tempatan dan pengunjung asing bermula dari 6 hingga 8 April ini nanti,” katanya.

Hadir sama ketika berlangsungnya sidang media itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat dan Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan Yan Hua.

Terdahulu fenomena benak atau air pasang di Sungai Batang Lupar akan mencapai paras ketinggian 5.9 meter pada 6 April, 6.2 meter pada 7 April dan 6.4 meter pada 8 April.

Tamat.


No comments:

Post a Comment