Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Monday, March 19, 2012

Simpang masuk ke tapak buang sampah Pantu terlalu kotor



Caption: PERLU KESEDARAN...Gambar menunjukkan sampah yang dibuang oleh penduduk di kawasan parit tepi jalan masuk menuju ke tapak pembuangan sampah di Pantu hari ini.

PANTU, Sabtu (17 Mac) – Kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk menjaga kebajikan hidup rakyat dengan menyediakan kemudahan sewajarnya di kawasan penempatan mereka dari masa ke semasa.

Namun begitu adalah amat mengecewakan semua pihak sekiranya kemudahan yang disediakan oleh kerajaan selama ini tidak dijaga oleh penduduk itu sendiri dengan begitu baik.

Tapak pembuangan sampah yang dibina oleh Majlis Daerah Sri Aman di kawasan Pantu sebelum ini mengalami perkara seperti itu apabila penduduk masih membuang sampah di luar tapak kawasan tersebut selama ini.

Hasil tinjauan Utusan Sarawak mendapati bahawa penduduk mengamalkan sikap ambil mudah dengan membuang sampah di sepanjang laluan parit yang menuju ke tapak pembuangan sampah berkenaan.

Ada di antara mereka yang mendakwa bahawa laluan jalan menuju ke tapak pembuangan sampah itu terlalu sempit sehingga mendorong mereka membuang sampah di kawasan jalan masuk menuju ke tapak berkenaan.

Apabila sampah dibuang di dalam parit sekitar jalan masuk menuju ke tapak terbabit, ia secara tidak langsung akan menimbulkan masalah pencemaran air memandangkan parit terbabit mempunyai rangkaian terhadap anak sungai yang lain.

Paling mengecewakan adalah sikap ambil mudah penduduk berhubung perkara ini telah mewujudkan suasana menjijikkan di sekitar jalan masuk menuju tapak terbabit dan juga terhadap penduduk yang mahu menuju ke Pekan Pantu.

Penduduk harus sedar bahawa kerajaan telah berusaha untuk memperkenalkan Pekan Pantu di pentas nasional dengan memperkenalkan sambutan Pesta Pantu atau Pesta Ikan Tapah sebelum ini.

Justeru imej kebersihan Pekan Pantu harus dijaga oleh semua penduduk dengan memastikan sampah mereka dibuang di tapak pembuangan sampah berkenaan dan bukannya di parit simpang jalan masuk menuju tapak terbabit.

Penulis yakin penduduk kawasan Pantu juga enggan berasa terkenal hanya disebabkan oleh kekotoran kemudahan tapak pembuangan sampah mereka dan bukannya sambutan pesta di situ selepas ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment