Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Wednesday, April 4, 2012

Jalan Panggil - Kemintin Klauh perlu diberi perhatian



Caption: PERLU PEMANTAUAN...Gambar jarak jauh menunjukkan lekokan yang timbul di atas permukaan jalan antara Panggil dan Kemintin Klauh hari ini.

SRI AMAN, Selasa (3 April) – Kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap kerosakan teruk terhadap laluan Jalan Sri Aman – Serian yang berlaku di kawasan Panggil hingga ke Kemintin Klauh, Sri Aman selepas ini.

Hasil pemerhatian rambang sebelum ini, Utusan Sarawak mendapati bahawa laluan jalan raya di antara kedua-dua kawasan perkampungan tersebut sudah pun mengalami kerosakan semenjak beberapa tahun lepas.

Keadaan berlekuk telah timbul di atas permukaan jalan raya sepanjang 30 meter dan seterusnya menyukarkan para pemandu kenderaan yang sering menggunakan laluan jalan Sri Aman – Serian selama ini.

“Lebih parah lagi, dua rekahan besar telah wujud di laluan menuju ke arah Kuching. Keadaan ini menyebabkan kenderaan kami sering terhentak ketika mahu melalui laluan tersebut,” kata pengguna kenderaan yang mahu dikenali sebagai Joshua.

Beliau juga yakin bahawa kerosakan terbabit telah menyebabkan pengguna kenderaan terpaksa memandu perlahan dan berhati-hati ketika memandu di atas laluan jalan rosak tersebut.

Sementara seorang lagi pengguna iaitu Min Sen berpendapat bahawa faktor tanah paya di kawasan tersebut menyebabkan jalan raya di situ mudah mendap apatah ketika dilalui oleh kenderaan berat pada setiap hari.

“Mungkin kerajaan boleh menimbang untuk memperbaiki semula laluan jalan berkenaan dengan menembok semula kawasan tersebut dengan tanah agar jalan raya tidak akan mudah mendap semula di masa akan datang,” katanya.

Beliau turut memberitahu pengguna jalan raya yang kurang berpengalaman mungkin akan berhadapan dengan risiko kemalangan serius sekiranya tindakan segera tidak diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut selepas ini.

Tamat.


2 comments:

  1. Terima kasih atas keprihatinan Pengarang terhadap Jalan raya ini. Untuk makluman, kerja naiktaraf untuk kawasan yg rosak ini telahpun dirancang dari hujung tahun 2011 dan peruntukan telahpun diluluskan. Berita Baik! Kawasan jalan yg rosak ini akan diturap semula dalam bulan April ini. Selepas siap nanti, saya berharap Pengarang dapat membuat perbandingan menggunakan gambar lokasi sebelum dan selepas kerja penurapan semula.

    ReplyDelete
  2. Sila lihat facebook page "Jabatan Kerja Raya Sri Aman" untuk maklumat lanjut

    ReplyDelete