Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak di sekitar kawasan Sri Aman, Simunjan, Balai Ringin, Pantu, Engkilili dan Lubok Antu. Anda boleh mengirim e-mail bahan berita anda ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran secara percuma selepas ini. Terima kasih bosss

Tuesday, April 3, 2012

Enam buah rumah panjang di Merio, Lubok Antu bakal terima elektrik


Caption: UNTUKMU….Nyalau (tiga kiri) ketika menerima cenderamata daripada Tr Baie sambil disaksi oleh Dr Rayong (dua kanan) dan Geoffery (kanan sekali)  pada majlis itu.

ENGKILILI, Selasa (27 Mac) – Sejumlah enam buah panjang yang terletak di kawasan perkampungan Merio dalam daerah kecil Engkilili bakal menerima Bekalan Elektrik  Luar Bandar (RES) tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak mengumumkan perkara itu ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran JKKK Rumah Baie Merio Rembai, Engkilili baru-baru ini.

Katanya enam buah rumah panjang tersebut adalah Rumah Baie Merio Rembai, Rumah Tupie Merio Baong, Rumah Tinggie Merio Tambak, Rumah Melina Merio Sedan, Rumah Jawa Merio Sedan dan Rumah Buda Merio Nanga.

Tanpa menyebut jumlah kos yang diperuntukan bagi tujuan projek itu, Nyalau berkata peruntukan bagi menyediakan projek RES itu sudah diluluskan dan bakal dilaksana tidak lama lagi.

“Saya telah difahamkan bahawa kerja menandakan laluan bagi pembinaan tiang bekalan kuasa elektrik itu sudah dilakukan oleh pihak yang diamanahkan untuk melaksanakan projek tersebut.

“Ia sekaligus menjadi berita baik untuk rumah panjang tersebut,” katanya sambil menambah bahawa kesemua enam buah rumah panjang itu hanya menggunakan lampu minyak bagi menerangi rumah mereka pada waktu malam hari.

Selain itu beliau turut berjanji akan terus berusaha gigih bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa untuk terus mencari peruntukan daripada kerajaan menjayakan projek pembangunan di kawasan parlimennya.

Justeru Nyalau berharap agar rakyat khasnya mereka yang tinggal luar bandar tidak cepat melatah sekiranya pembangunan yang bakal disalurkan kepada mereka lambat  dilaksanakan selepas ini.

“Kerajaan perlu mengkaji projek itu terlebih dahulu disamping perlu mengikuti beberapa peraturan tertentu sebelum ia mahu dilaksanakan,” katanya peruntukan untuk tujuan itu akan terus dipohon daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat dari masa ke semasa.

Terdahulu beliau menerusi majlis itu mengumumkan peruntukkan bernilai RM10,000 kepada JKKK Rumah Baie, dan biro wanitanya RM3,000, JKKK Tupie (RM7,000) dan biro wanitanya (RM2,000), JKKK Buda (RM7,000) dan biro wanitanya (RM3,000) serta JKKK Tinggie (RM3,000) dan biro wanitanya (RM2000).

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah ADUN Engkilili, Dr Johnical Rayong, Pegawai JASA Parlimen Lubok Antu, Geoffery Baja Ricky Maba, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari sekitar kawasan Lubok Antu.


Tamat….

1 comment: